Setiap sekolah baharu yang dibina kerajaan selepas ini akan dilengkapi dengan fasiliti mesra orang kelainan upaya (OKU), kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Beliau berkata kerajaan juga akan memperuntukkan RM200,000 untuk proses menaiktaraf setiap buah sekolah kerajaan, termasuk yang berada di luar bandar, bagi menjadikan sekolah kerajaan lebih kondusif untuk warga OKU.

Menurutnya ketika ini terdapat sejumlah 82,000 pelajar yang memerlukan keperluan khas yang berdaftar dalam sistem Kementerian Pendidikan.

"Walaupun kita ada lebih kurang 10,000 buah sekolah, namun jumlah sekolah yang mempunyai fasiliti OKU tidak sampai 1,000. Jadi memang salah satu rancangan kita ialah menambah lagi fasiliti OKU di sekolah kerajaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat tapak pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ladang Grisek di Masai, pada Ahad.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Pembangunan Wanita Johor Liow Cai Tung, Anggota Parlimen Tebrau Steven Choong dan Pengerusi Eco World Development Group Berhad Tan Sri Liew Kee Sin.

Anggota Parlimen Kulai itu berkata langkah ini sejajar dengan "zero reject policy" yang akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan mulai tahun depan, di mana ibu-bapa yang mempunyai anak istimewa boleh menghantar anak mereka bersekolah di sekolah kerajaan.

"Murid OKU ini akan menjalani ujian saringan selama tiga bulan dan sekiranya layak, mereka boleh belajar dalam sekolah di aliran perdana," katanya.

Menurutnya bagi pelajar yang gagal melepasi ujian saringan pula, mereka masih boleh bersekolah di sekolah yang sama namun akan ditempatkan di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau Sekolah Pendidikan Khas.

Sementara itu, Teo turut mengumumkan tambahan peruntukan RM4 juta untuk pembinaan SJKC Ladang Grisek khusus bagi meningkatkan jumlah kelas dalam sekolah daripada 24 buah kelas, menjadi 30 dan pembinaan beberapa fasiliti tambahan lain, termasuk pembinaan dewan serbaguna, padang bola sepak, trek olahraga dan juga hentian bas.

-- BERNAMA