KUALA LUMPUR:Kerajaan telah mengarahkan Kementerian Pendidikan supaya mengeluarkan arahan menutup sekolah jika terdapat guru atau murid yang disahkan positif COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 yang dipengerusi oleh beliau pada Jumaat.

Muhyiddin berkata Kementerian Pendidikan boleh mengeluarkan arahan tersebut tanpa menunggu penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, mesyuarat yang diadakan secara sidang video itu turut memberi tumpuan khusus kepada situasi di Sabah.

"Memandangkan kes-kes di negeri ini masih menunjukkan peningkatan, mesyuarat bersetuju supaya Kementerian Pendidikan meneliti keperluan untuk menutup sekolah-sekolah di seluruh negeri Sabah. Menteri Kanan Pendidikan akan membuat pengumuman rasmi mengenai perkara ini.

"Kapasiti hospital untuk merawat pesakit COVID-19 di negeri Sabah juga dibincangkan. Mesyuarat bersetuju supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berbincang dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mendapatkan bantuan dari segi kemudahan perubatan yang boleh ditawarkan oleh Kor Perubatan ATM.

"Saya juga telah mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia supaya memberi keutamaan kepada pengurusan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah yang menjadi antara punca merebaknya pandemik COVID-19 di negeri tersebut," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Muhyiddin juag memaklumkan bahawa kebanyakan kluster di Kedah termasuk Kluster Sivagangga, Kluster Muda dan Kluster Sanglang tidak lagi  mencatatkan kes baharu.

Katanya, hanya Hanya kluster Bah Sintok dan Tembok merekodkan kes baharu namun masih dapat dibendung.

"Ini menunjukkan langkah-langkah yang diambil oleh pelbagai agensi untuk membendung pandemik ini di negeri Kedah berkesan," katanya lagi.