SHAH ALAM: Sekolah Digital Selangor (SDS), inisiatif pendidikan yang dilancarkan kerajaan negeri melalui Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) serta The Hive Southeast Asia, menyasarkan untuk memupuk 600 bakat pada 2024 bagi meningkatkan landskap kemahiran digital negara.

Sidec, sebuah agensi kerajaan negeri dalam satu kenyataan semalam berkata SDS akan bertindak sebagai perantara atau jambatan pekerjaan dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyediakan tenaga kerja berkemahiran AI dan menghubungkan mereka dengan syarikat teknologi terkemuka melalui latihan serta penempatan industri di Selangor.

"Sehingga kini, SDS telah menjalinkan beberapa kerjasama dengan 55 syarikat berkaitan internet dan 50 syarikat dalam rangkaian kerjasama Sidec.

"Sebanyak 105 syarikat rakan kerjasama industri telah menyatakan minat untuk menerima pelajar yang telah menjalani latihan dalam kecerdasan buatan (AI).

"Antara syarikat rakan kerjasama industri yang mempunyai reputasi tinggi ialah Yinson Holdings Bhd, Fusionex Group, EasyStore, Razer Merchant Services dan ClickAsia," katanya.

Sidec menjelaskan SDS telah menubuhkan program latihan AI Nusantara yang direka khusus bagi menangani kekurangan tenaga kerja dalam AI seperti dalam pemasaran digital dan kejuruteraan.

"Pelaksanaan program latihan didasarkan kepada tiga elemen utama iaitu latihan serta penempatan pelajar tahun akhir, pengkhususan kurikulum termasuk integrasi industri dan menyediakan rakyat Malaysia dengan kepakaran dalam bidang AI serta pembelajaran mesin.

"Kohort pertama program itu telah meraih kejayaan dengan peningkatan kemahiran 31 pelajar dari Universiti Selangor di Bestari Jaya," katanya lagi.

Sidec berkata pelajar Universiti Selangor telah menamatkan latihan intensif dalam analisis data dan pembelajaran mesin, memperlengkapkan diri mereka dengan kemahiran dalam ekonomi digital semasa.

"Kini, mereka telah memperoleh penempatan dalam program latihan di syarikat terkemuka seperti QMed Asia, Borong, Xhinobi Studios, Mindhive serta Moovby, meletakkan mereka di laluan yang menjanjikan ke arah kerjaya dinamik dalam teknologi dan inovasi," kata Sidec .

Sidec berkata SDS telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan YTL Power International Bhd untuk membangunkan program pendidikan serta latihan yang meluas yang khusus bertujuan memajukan kemahiran dan pengetahuan dalam AI serta pembangunan mampan.

"MoU ini direka secara strategik bagi memacu evolusi amalan industri dan dengan ketara meningkatkan kepakaran profesional dalam bidang penting ini.

"Perkongsian itu akan memanfaatkan ekosistem infrastruktur AI yang sedang dibina YTL selain bertujuan memacu inovasi, meningkatkan pekerjaan dan daya saing di Malaysia," tambahnya.

-- BERNAMA