MALAYSIA
Sekolah sepatutnya ruang yang selamat - Raja Permaisuri Agong
Artikel baharu daripada Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkaitan gejala buli di sekolah dan institusi pengajian di Malaysia. - Foto: Instagram @officialsultanibrahim
ANTARA topik dan isu yang sering menjadi perbualan santai bersama keluarga kami adalah seperti kesihatan ahli keluarga yang sudah berusia, keadaan cuaca, hinggalah kepada berita antarabangsa dan tempatan.
Hal ini selalunya berakhir dengan kebimbangan yang sama terhadap isu-isu tempatan, yang sukar untuk diabaikan dan sentiasa menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia.
Sejak hujung Julai, kita semua telah mengetahui berita gembira dan duka yang tersebar luas di media arus perdana dan media sosial. Namun, perbualan kami lebih tertumpu kepada isu buli di sekolah dan institusi pendidikan negara.
Sudah bertahun-tahun, berita tentang insiden buli dan kesannya yang tragis amat meruntun hati kita semua.
Pada tahun 2017, Zulfarhan Osman Zulkifli, seorang kadet tentera laut, meninggal dunia akibat kesan melecur di tubuhnya. Pada tahun yang sama, T. Nhaveen dari George Town, meninggal dunia akibat pendarahan dalaman di kepalanya. Kedua-duanya adalah mangsa buli.
Sekolah dan institusi pendidikan termasuk universiti sepatutnya menjadi tempat di mana anak-anak kita berasa selamat. Namun hakikatnya, tempat itu menjadi mimpi ngeri bagi pelajar yang menjadi mangsa buli rakan sebaya.
Mengapa ada antara mangsa buli memilih untuk menyimpan penderitaan mereka sendiri? Dalam satu lagi perbualan dengan seorang kenalan, saya difahamkan bahawa antara sebab pelajar enggan mendedahkan identiti pembuli ialah kerana mahu melindungi rakan-rakan mereka: jika mereka melaporkan tentang pembuli, rakan-rakan mereka pula akan menjadi sasaran. Maka mereka memilih untuk berdiam diri.
Ada di antara kalangan mangsa buli yang bernasib baik boleh memilih untuk berpindah sekolah, namun bagi yang tidak mempunyai pilihan itu, mereka terpaksa kekal dan menanggung apa jua penderitaan yang dialami.
Selepas berbual tentang isu buli yang membimbangkan ini bersama keluarga dan rakan, saya meneliti pula pelbagai platform media sosial. Beberapa sanak saudara saya yang lebih muda mencadangkan agar saya menonton sebuah siri tempatan dan filem tentang kes buli di sekolah berasrama, yang diinspirasikan daripada kisah benar. Saya hanya menonton treler cerita tersebut, namun tidak berhasrat untuk menontonnya secara keseluruhan. Ia bukan karya hiburan yang ringan.
Buli di sekolah telah menjadi satu budaya yang amat buruk di Malaysia. Perbualan bersama keluarga dan sahabat handai sudah cukup membuktikan bahawa ia sebenarnya berlaku lebih kerap daripada yang disangka. Ianya benar dan ia berleluasa.
Adakah kita mengabaikan perkara ini hanya kerana ia tidak berlaku kepada anak kita sendiri? Haruskah seorang lagi remaja atau belia mati dengan derita sebelum kita berkata cukup? Berapa ramai lagi ibu bapa dan keluarga harus menanggung derita dan pilunya kehilangan insan tersayang? Jika kita benar-benar ingin dikenali sebagai sebuah masyarakat “penyayang”, maka sudah tiba masanya kita menjawab soalan-soalan ini.
Anak-anak, remaja, dan belia Malaysia tidak seharusnya merasa takut untuk ke sekolah atau universiti kerana terpaksa menghadapi satu hari atau satu malam lagi, diseksa oleh rakan sebaya mereka. Para ibu bapa juga tidak sepatutnya perlu bimbang tentang keselamatan anak-anak di sekolah, sedangkan mereka sudah cukup terbeban dengan masalah kewangan dan keluarga sedia ada.
Tanggungjawab bersama kita sebagai masyarakat ialah memastikan setiap nyawa yang terkorban di tangan pembuli tidak berakhir dengan sia-sia.
Oleh Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah
Artikel ini disiarkan di zarithidris.com