KUALA LUMPUR: Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya diarahkan tutup sementara berikutan 135 kes baharu positif COVID-19 yang membabitkan warga sekolah berkenaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata arahan tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi.

"Kluster COVID-19 yang melibatkan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya ini dinamakan Kluster Persiaran Tasik," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan situasi COVID-19 di sini hari ini.

Noor Hisham berkata sehingga hari ini, seramai 973 warga sekolah telah disaring dan mendapati 135 kes baharu positif kes COVID-19 dalam kluster berkenaan, menjadikan keseluruhan kes COVID-19 dalam kluster tersebut ialah seramai 143 orang, terdiri daripada 114 murid, 19 guru dan 10 kakitangan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam memaklumkan terdapat 73 kes positif COVID-19 di sekolah berkenaan melibatkan dua guru dan 71 pelajar.

"Satu sesi taklimat dan penerangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut telah diadakan. Pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kluster ini terkawal," katanya.

Beliau berkata daripada 143 kes yang positif COVID-19, seramai 106 kes dalam kategori satu manakala 35 kes yang lain adalah dalam kategori 2A dan dua (2) kes dalam kategori 2B (masing-masing seorang guru dan seorang murid) dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil.

"Kesemua murid yang positif COVID-19 dan seorang guru telah dimasukkan ke MAEPS untuk rawatan dan pemantauan lanjut," katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata seramai 700 orang kontak rapat iaitu 603 murid, 59 guru, dan 38 kakitangan telah dikenal pasti dengan kontak rapat dalam kalangan murid dimasukkan ke stesen kuarantin, iaitu di Institut Aminuddin Baki dan Institut Latihan Islam Malaysia.

"Manakala kontak rapat dalam kalangan guru dan kakitangan dikuarantin di rumah masing-masing," katanya.

-- BERNAMA