KUCHING :Sarawak akur dengan keputusan penutupan semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ujarnya Ketua Menteri Sarawak, beliau yakin keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan yang mendalam dan holistik berdasarkan situasi semasa negara. 

“Itu adalah keputusan mereka, kita akur. Mereka lebih mengetahui apa yang berlaku dan mereka sedar risiko bahaya ketika ini.

"Jadi kita akur dalam usaha untuk menyelamatkan keadaan di negara ini," jelasnya pada sidang media Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat PBB pada Ahad.

Dalam pada itu, Abang Johari turut mengulas mengenai cabaran yang dihadapi oleh pelajar dan warga pendidik untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dari rumah.

Menurut Abang Johari, beliau yakin pihak KPM akan tampil dengan inisiatif yang berkesan untuk melaksanakan perkara tersebut. 

“Perkara ini saya serahkan kepada pihak KPM kerana mereka mempunyai kuasa ke atas pelaksanaan P&P.

“Jadi, saya yakin mereka mempunyai kaedah alternatif. Bukan setakat itu, peperiksaan awam juga terkesan sekali ketika ini," jelasnya.