PUTRAJAYA: Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah bernilai RM500,000 yang dikaitkan dengan seorang bekas menteri melibatkan projek mesin layan diri.
Ketua Biro Politik SekPur, Shahbudin Embon, berkata pihaknya telah menyerahkan maklumat yang didakwa bukti berwibawa kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Advertisement
“Kami telah membuat laporan kepada polis dua hari lalu, namun sehingga kini sesiapa sahaja masih boleh membuka laman web Malaysian Corporate dan melihat sekitar 20 muka surat dokumen yang merupakan laporan siasatan yang komprehensif,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Jumaat.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung SekPur, Mejar (B) Razali Zakaria.
Mengulas lanjut, Shahbudin berkata tindakan SekPur membuat laporan berkenaan bukan bertujuan menyerang mana-mana individu, sebaliknya untuk memastikan ketelusan dan melindungi imej kerajaan.
Shahbudin menjelaskan SekPur juga menyuarakan kebimbangan bahawa dakwaan rasuah yang tular di media sosial boleh menjejaskan integriti kerajaan, sekiranya tidak disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa.
“Apa yang kami mahukan ialah satu siasatan yang telus dijalankan demi menjaga integriti dan imej kerajaan, khususnya melibatkan tempoh beliau memegang jawatan.
“Ada pihak yang menuduh SekPur sebagai ‘busybody’ dan menyebarkan maklumat tidak sah daripada laman tidak dikenali,” tambah beliau.
Sehubungan itu, beliau berkata SekPur menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan susulan terhadap dakwaan rasuah berkenaan.
Terdahulu, laman web Malaysia Corporate, mendakwa syarikat Datasonic Group Bhd, kini dikenali sebagai NexG Bhd, juga cuba melobi Putrajaya untuk melanjutkan kerja sedia ada berkaitan pengeluaran pasport dan MyKad.
Laporan itu mendakwa, seorang eksekutif NexG didakwa meminta sokongan bekas menteri terbabit bagi meyakinkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya memberikan lanjutan kontrak berkenaan.