KUALA LUMPUR: Mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa melibatkan semua parti dalam kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ia melibatkan Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.

"Jawatankuasa ditetapkan ini ada tiga, satu Jawatankuasa Strategi, termasuk komunikasi kerana kadang-kadang kita berdepan dengan kenyataan fitnah melampau contoh isu pembakaran al-Quran.

"Beberapa orang kononnya tokoh-tokoh agama menggunakan kenyataan dalam ucapan mereka seolah-olah kita belum buat apa-apa, padahal pada masa itu kita dah keluarkan kenyataan keras mengecam... Kementerian Luar juga telah panggil Duta Sweden dan kita keluarkan (kenyataan) pengedaran satu juta naskah Al-Quran," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn pada Selasa malam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Jawatankuasan Pilihan Raya pula menumpukan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Jawatankuasa Pilihan Raya menumpukan pilihan raya negeri yang akan diadakan bila-bila masa dan jawatankuasa ini tentunya akan mencadangkan hal-hal PRN... terutama pembahagian kerusi... mereka pastikan kita punyai tapak kukuh menghadapi PRN.

"Suatu hal disepakati sangat positif bagi saya, kesepakatan dan komitmen semua parti termasuk Sabah dan Sarawak membantu sebagai satu pasukan," katanya.

Bagi Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik pula jelas Perdana Menteri, akan menumpukan mengenai manifesto kerajaan meliputi pelbagai isu termasuk kos sara hidup rakyat.

"Jawatankuasa berikut Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik mengambil kira pandangan manifesto... melibatkan kos sara hidup (dan) kerjasama antara semua kaum dan negeri," jelasnya lagi.

Mengulas lanjut ujar Anwar, ketiga-tiga jawatankuasa itu akan dipengerusikannya dan ketua-ketua parti sebagai timbalan pengerusi.

"Kita telah bersetuju Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan menbentuk struktur pimpinan yang akan bersidang setiap bulan dan satu jawatankuasa dilantik akan bersidang beberapa minggu ini.

"Terima kasih kepada mereka berikan persetujuan saya pengerusikan dan ketua-ketua parti gabungan akan menjadi timbalan pengerusi dan berikutnya pimpinan lain sebagai naib pengerusi," ujarnya lagi.

Sekretariat Kerajaan Perpaduan pula jelas Anwar akan diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Ketua Sekretariat.