MALAYSIA

Sekretariat STAR: Dari pelan ke realiti - Reformasi perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat

Firdaus Azil 31/01/2026 | 22:50 MYT
Shamsul Azri ketika berucap pada Simposium Penilaian Strtegik Setahun Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) Tahun 2025 di Putrajaya, 10 Sept 2025. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sekretariat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) sebelum ini dikenali sebagai “enjin senyap” yang menggerakkan lonjakan reformasi perkhidmatan awam.


Ringkasan AI
  • Sekretariat STAR menggerakkan reformasi perkhidmatan awam dengan mengukur perubahan sebenar: pemendekan tempoh kelulusan pas ekspatriat dari 87 hari kepada 5 hari bagi syarikat tertentu.
  • STAR mempercepatkan projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah, mengurangkan tempoh dari 270 hari kepada 133 hari, memberi impak kepada murid, guru, dan ibu bapa.
  • STAR melalui pekeliling reformasi menggalakkan agensi mencuba kaedah baharu untuk memudahkan urusan rakyat, memastikan reformasi kekal agar menyentuh kehidupan rakyat, bukan hanya menjadi inisiatif semata.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Kini masyarakat perlu dibawa lebih dekat kepada persoalan yang lebih penting: apa yang sudah berubah, dan siapa yang benar-benar merasainya?

Dalam naratif reformasi, istilah seperti “penambahbaikan proses,” “pendigitalan,” atau “penyelarasan antara agensi” sering kedengaran teknikal.

Namun, perubahan sebenar boleh diukur dengan ukuran yang mudah difahami rakyat: berapa lama menunggu, berapa kali ulang-alik, dan sejauh mana urusan kerajaan menjadi lebih cepat, telus dan mesra pengguna.

Latar ini sejajar dengan gambaran peranan STAR pimpinan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang menyelaras pelaksanaan reformasi merentas agensi—bukan sekadar retorik, tetapi mekanisme yang memaksa hasil
.
Dari 87 hari ke 5 hari: Reformasi yang terus “terasa”

Antara contoh paling jelas untuk menggambarkan impak STAR ialah pemendekan tempoh kelulusan pas ekspatriat.

Apa yang pernah mengambil masa 87 hari kini boleh diselesaikan sekitar 5 hari bagi syarikat yang memenuhi kriteria tertentu.

Dalam ekosistem pelaburan dan perniagaan, perbezaan dua angka ini bukan sekadar statistic, tetapi juga dalam menentukan sama ada syarikat mampu memulakan operasi tepat pada masa, mengisi jawatan kritikal, atau memenangi kontrak bernilai jutaan ringgit.

Apabila kelulusan dipercepat melalui kaedah dalam talian dan kerjasama kolektif pelbagai agensi, mesejnya jelas: birokrasi yang meleret bukan lagi “harga yang perlu dibayar” untuk urusan rasmi.

Ini adalah contoh reformasi yang boleh diterjemah kepada bahasa rakyat, iaitu pengurangan masa menunggu, pengurangan ketidakpastian, dan membawa lebih keyakinan.

Sekolah daif: perolehan 81 hari jadi 22 hari, projek 270 hari jadi 133 hari

Satu lagi impak STAR yang mudah divisualkan ialah percepatan projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah.

Media sebelum ini melaporkan bahawa proses perolehan yang dulunya mengambil 81 hari dipendekkan kepada 22 hari bekerja, manakala tempoh keseluruhan pelaksanaan projek, dari peringkat perancangan sehingga siap, dipendekkan daripada 270 hari kepada 133 hari.

Ini bukan angka kecil; ia menggambarkan keupayaan kerajaan mengubah cara kerja yang selama ini dikritik lambat dan bertingkat-tingkat.

Lebih penting, kesannya dirasai oleh komuniti paling rapuh: murid, guru, dan ibu bapa yang saban tahun menanggung risiko keselamatan dan ketidakselesaan kerana infrastruktur yang uzur.

Projek rintis yang disebut kemudian diperluas menjadi bukti bagaimana STAR boleh mengangkat “kejayaan rintis” menjadi “amalan sistem.”

Memotong kerenah birokrasi: dua pekeliling yang mengubah budaya kerja

Reformasi tidak berlaku hanya dengan teknologi; ia menuntut peraturan baharu yang memaksa sistem lama berubah.

Dalam konteks ini, STAR dikaitkan dengan dua inisiatif penting: Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi dan Pekeliling Uji Kaji Peraturan.

Kedua-duanya menggambarkan pendekatan yang semakin matang: bukannya sekadar “menguatkuasakan” prosedur sedia ada, tetapi menggalakkan agensi menguji dan mencuba kaedah baharu untuk memudahkan urusan rakyat dan mempercepat penyampaian perkhidmatan.

Apabila pekeliling menjadi rangka kerja, ia memberi legitimasi kepada penjawat awam untuk melakukan perubahan tanpa takut “melanggar kebiasaan.”

Dalam bahasa mudah, sistem bukan lagi menyuruh orang menyesuaikan diri dengan birokrasi, sebaliknya birokrasi dipaksa menyesuaikan diri dengan keperluan rakyat.

Pendigitalan tanah dan pusaka: MyLAND sebagai contoh reformasi ‘low profile, high impact’
Urusan tanah dan pusaka sering menjadi punca rungutan rakyat: proses panjang, dokumen bertimbun, serta keperluan hadir berulang kali untuk semakan dan pengesahan.

Pendigitalan melalui sistem MyLAND yang menggantikan sistem terdahulu adalah contoh reformasi yang mungkin tidak meletup sebagai tajuk utama, tetapi membawa kesan besar dalam kehidupan seharian, khususnya kepada waris yang mahu menyelesaikan urusan pusaka kecil.

Dalam banyak kes, kelewatan urusan pusaka bukan sekadar isu pentadbiran; ia boleh mengikat harta yang sepatutnya digunakan untuk pendidikan anak, rawatan kesihatan, atau memulakan perniagaan kecil keluarga.

Apabila sistem diubah untuk menjadi lebih tersusun dan digital, ia mengurangkan ruang ketidaktelusan, mempercepat semakan, dan memendekkan jalan untuk rakyat mendapatkan keputusan yang adil.

OSC dan kelulusan lebih pantas: bila ‘masa’ jadi ukuran reformasi

Di pihak kerajaan tempatan, Pusat Sehenti (OSC) sering menjadi “bottleneck” yang menentukan cepat atau lambat sesuatu pembangunan.

Namun Sekretariat STAR telah meletakkan sasaran untuk mengurangkan tempoh memproses permohonan OSC sehingga 50 peratus.

Bagi industri pembinaan dan pemaju, kelulusan yang cepat bermaksud kos projek dapat dikawal; bagi komuniti setempat, ia boleh mengurangkan tempoh gangguan pembinaan yang berpanjangan.

Manakala bagi kerajaan pula, ia mengurangkan persepsi bahawa kelulusan hanya bergerak apabila “dibantu” dengan cara tidak sihat.

Pada titik ini, reformasi bukan lagi slogan, sebaliknya ia menjadi disiplin pengurusan masa. Dan apabila masa dipendekkan, ruang untuk pembaziran, kelewatan dan ketirisan turut mengecil.

Siri 2 menilai STAR melalui lensa rakyat: siapa untung, siapa rugi?

Untuk memastikan reformasi tidak kekal sebagai perbualan elit, siri kedua ini menilai kejayaan STAR melalui kesan “orang biasa”.

Ibu dan bapa mahu melihat sekolah siap lebih cepat. Pekerja sektor swasta melihat projek ekonomi bergerak pantas kerana pas ekspatriat diluluskan segera.

Waris merasai urusan pusaka yang lebih jelas dan sistematik. Kontraktor kecil mendapat aliran kerja lebih stabil apabila kelulusan tidak “tersangkut” terlalu lama.

Naratif ini selari dengan gambaran bahawa STAR diwujudkan untuk meningkatkan mutu dan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam, memfokus kepada penambahbaikan proses kerja dan penghapusan peraturan lapuk yang melambatkan urusan rakyat dan perniagaan.

Dengan kata lain, kejayaan STAR tidak harus diukur hanya pada jumlah mesyuarat atau kertas kerja, tetapi pada kurangnya derita menunggu.

Cabaran seterusnya: memastikan reformasi kekal, bukan bermusim
Namun, siri kedua juga perlu jujur: reformasi paling sukar bukan memulakannya, tetapi mengekalkannya.

Setiap proses yang dipendekkan akan diuji oleh faktor manusia, sama ada pertukaran kepimpinan, budaya kerja yang kembali selesa, serta ketakutan terhadap akauntabiliti.

Justeru, peranan STAR sebagai penyelaras merentas kementerian dan agensi penting untuk memastikan reformasi tidak “mati” selepas projek rintis.

Dan apabila kejayaan pas ekspatriat (87 hari ke 5 hari) dan sekolah daif (270 hari ke 133 hari) dijadikan penanda aras, tekanan moral dan pentadbiran wujud untuk memperluas pencapaian itu ke domain lain: hospital, imigresen, penguatkuasaan, dan perkhidmatan barisan hadapan.

Hanya dengan konsistensi, reformasi boleh bertukar daripada “inisiatif” menjadi “budaya.”


Reformasi yang akhirnya boleh dipegang, bukan sekadar dipuji

Akhirnya, STAR memberi satu pelajaran penting kepada pentadbiran moden: rakyat tidak meminta kerajaan menjadi sempurna; rakyat hanya mahu kerajaan menjadi lebih mudah.

Apabila pas ekspatriat boleh dipercepat, apabila sekolah daif boleh disiapkan dalam separuh masa, apabila OSC mengurangkan tempoh proses, apabila urusan tanah dan pusaka bergerak melalui sistem digital, maka rakyat mula percaya bahawa perubahan itu nyata.

Siri pertama membuktikan ada “enjin senyap” yang bekerja di belakang tabir.

Siri kedua membuktikan enjin itu sudah mula menggerakkan roda di jalan sebenar: jalan hidup rakyat. Dan di situlah reformasi perkhidmatan awam akhirnya menemui makna, iaitu bukan pada kertas, tetapi pada pengalaman.


* Firdaus Azil ialah wartawan kanan penyiaran Astro AWANI yang kini sedang mendalami bidang komunikasi interpersonal. Aktif menulis mengenai dasar awam, tadbir urus dan reformasi institusi, dan pernah membuat liputan mendalam di peringkat nasional dan antarabangsa, termasuk sidang kemuncak geopolitik serta isu-isu berkaitan pentadbiran kerajaan dan perkhidmatan awam.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.






Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah perubahan yang paling ketara yang berlaku hasil daripada tindakan STAR dalam reformasi perkhidmatan awam?
    A: Pemendekan tempoh kelulusan pas ekspatriat daripada 87 hari kepada 5 hari adalah salah satu perubahan yang paling ketara yang berlaku berkat tindakan STAR.
  • Q: Bagaimana pendigitalan melalui sistem MyLAND membawa kesan besar kepada masyarakat dalam urusan tanah dan pusaka?
    A: Pendigitalan melalui sistem MyLAND telah mengurangkan ruang ketidaktelusan, mempercepat semakan, dan memendekkan jalan untuk masyarakat mendapatkan keputusan yang adil dalam urusan tanah dan pusaka.
  • Q: Apa yang dimaksudkan dengan Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi dan Pekeliling Uji Kaji Peraturan yang dikaitkan dengan STAR?
    A: Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi dan Pekeliling Uji Kaji Peraturan adalah inisiatif yang mendorong agensi untuk mencuba kaedah baharu dalam memudahkan urusan rakyat dan mempercepat penyampaian perkhidmatan, selain daripada hanya menguatkuasakan prosedur sedia ada.



#Shamsul Azri Abu Bakar #Sekretariat STAR #penjawat awam #reformasi perkhidmatan awam