Skip to main content

Malaysia

Sektor agrikomoditi berdepan cabaran tarik minat golongan muda – Noraini

BANGI, 7 Mei -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama para pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang menyertai Skuad Sukarelawan Agrokomoditi di Ibu Pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini.  Turut sama, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (kiri).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama para pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang menyertai Skuad Sukarelawan Agrokomoditi di Ibu Pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini. Turut sama, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Noraini Ahmad (kiri). - Foto BERNAMA

BANGI: Sektor agrikomoditi negara berdepan cabaran berterusan untuk menarik minat serta penyertaan generasi muda, khususnya dalam meneroka peluang kerjaya dan keusahawanan dalam industri berkenaan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Noraini Ahmad.

Beliau berkata persepsi bahawa sektor itu tidak mampu menawarkan masa depan yang moden, stabil dan berkualiti masih membelenggu golongan muda, meskipun potensinya semakin berkembang sejajar dengan keperluan ekonomi semasa.

“Sektor agrikomoditi sebenarnya mempunyai potensi besar dalam menyediakan peluang pekerjaan yang mampan dan berdaya saing, terutama kepada generasi muda. Industri hiliran berasaskan sawit, getah, koko dan kayu kini berkembang pesat dalam bidang bernilai tinggi seperti farmaseutikal, kosmetik, makanan premium, biomaterial dan tenaga hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Skuad Agrikomoditi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), di sini, hari ini.

Noraini berkata sektor agrikomoditi kini tidak lagi terhad kepada pengeluaran bahan mentah, sebaliknya telah berevolusi sebagai pemacu ekonomi bernilai tambah tinggi yang mampu menawarkan pendapatan lebih baik serta prospek kerjaya jangka panjang.

“Kita tidak mahu generasi muda sekadar menjadi pencari kerja. Sebaliknya, mereka perlu dilahirkan sebagai pemimpin industri, pencipta teknologi dan usahawan agrikomoditi yang berdaya saing di peringkat global.

“Oleh itu, pendekatan ‘bekerja seperti biasa’ tidak lagi relevan. Kita perlu bergerak lebih pantas, inovatif dan berani melakukan perubahan,” katanya.

Sehubungan itu, Noraini berkata kerajaan memperkukuh ekosistem kerjasama antara industri agrikomoditi, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta institusi pengajian tinggi bagi memenuhi keperluan semasa industri.

Beliau berkata TVET menjadi laluan strategik ke arah kerjaya profesional berpendapatan tinggi dalam sektor agrikomoditi, selain berperanan sebagai penghubung kepada bidang berteknologi tinggi seperti automasi, teknologi hijau, kejuruteraan dron, mesin pintar dan pemprosesan makanan moden.

“Matlamat kita adalah memastikan anak muda tidak lagi terpaksa meninggalkan kampung halaman untuk mencari rezeki, sebaliknya mampu membangunkan ekonomi desa melalui penguasaan ilmu, kemahiran dan teknologi baharu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut memperluas usaha peningkatan dan latihan semula kemahiran (upskilling dan reskilling) melalui program mikro-kredensial yang lebih fleksibel, pantas dan berteraskan keperluan industri.

Mengulas pelancaran Skuad Agrikomoditi KPK oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Noraini berkata inisiatif itu akan menjadi pemangkin advokasi dan transformasi sektor agrikomoditi negara.

Antara peranan utama skuad berkenaan termasuk mempercepat pendigitalan sektor, mempromosikan komitmen Malaysia terhadap amalan mampan serta membantu pekebun kecil meningkatkan nilai hasil melalui pengeluaran produk hiliran.

“Skuad ini akan berfungsi sebagai penghubung strategik antara pekebun kecil, pakar penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pemain industri bagi melonjakkan potensi hasil agrikomoditi kepada produk bernilai tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video