KUALA LUMPUR: Lebih ramai pekerja wanita dalam sektor pelancongan di seluruh dunia kehilangan pekerjaan akibat COVID-19 berbanding lelaki, kerana lebih ramai golongan itu terlibat dalam sektor yang paling terkesan akibat krisis itu, menurut analisis Organisasi Buruh Antarabangsa 2020.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata, di Malaysia pekerja wanita yang terlibat dalam industri pelancongan berkurangan dua peratus kepada 48.3 peratus pada 2020 berbanding 50.3 peratus pada 2019.

"Industri pelancongan merupakan yang paling terkesan termasuklah penginapan dan perkhidmatan makanan, jualan dan borong, selain perkhidmatan lain termasuk seni dan rekreasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi mengenai impak COVID-19 pada wanita dalam pelancongan: dasar untuk pemulihan melalui sesi lensa jantina Persidangan Pertubuhan Pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) mengenai Pemerkasaan Wanita Dalam Pelancongan di Asia dan Pasifik di sini hari ini.

Nancy berkata, pada analisis baru-baru ini di Persidangan PBB mengenai Pembangunan dan Perdagangan 2020 meramalkan, yang akan terdapat kesan yang significan terhadap pekerjaan di negara yang bergantung kepada sumbangan pelancongan kepada keluaran dalam negara kasar.

Dalam mengatasi cabaran ini, Nancy berkata kerajaan Malaysia secara beterusan memperkenalkan langkah sokongan, insentif dan pelbagai inisiatif bagi mempercepatkan pemulihan dan memperbaiki industri pelancongan secara keseluruhan.

"Rangka kerja menyeluruh yang menjadi dasar ini ialah Polisi Pelancongan Kebangsaan Malaysia 2020-2030 yang berasaskan kepada tiga tonggak daya saing, keterangkuman dan kemampanan dan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan PBB dalam enam strategi transformasinya.

"Secara khususnya, strategi lima bertujuan untuk mempromosikan Pelancongan yang Mampan dan Bertanggungjawab bersama inisiatif khusus untuk memberi manfaat kepada wanita, belia dan kumpulan kurang bernasib baik, khususnya masyarakat di luar bandar," katanya.

Nancy berkata selain daripada inisiatif yang disasarkan untuk wanita dan kumpulan kurang bernasib baik itu, kerajaan baru-baru ini membentangkan Bajet 2022 yang mengorak langkah besar ke arah memacu pemulihan secara keseluruhan dengan komitmen untuk memberikan manfaat yang sama rata kepada wanita dalam pelancongan.

"Sehingga kini, sejumlah 6,034 pemandu pelancong wanita memiliki lesen yang aktif daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dalam empat kategori iaitu Pemandu Pelancongan Bandar, Pemandu Pelancong Alam Semulajadi, Pemandu Pelancong Wilayah Khusus dan Hos Komuniti Tempatan. Ini menyumbang kepada kira-kira 35 peratus daripada pemandu pelancong berlesen Malaysia yang secara keseluruhannya berjumlah 17,067," katanya.

Acara dua hari yang dirasmikan Nancy berlangsung secara hibrid dihadiri lebih daripada 100 peserta termasuk pegawai kanan daripada Pentadbiran Pelancongan Kebangsaan, usahawan wanita dan wakil wanita daripada pertubuhan bukan kerajaan.

-- BERNAMA