BISNES
Vantris Energy nafi jadi subjek siasatan SPRM

Sebagai syarikat senaraian awam, Vantris Energy berkata, pihaknya komited untuk mengekalkan piawaian tadbir urus korporat, ketelusan dan integriti yang tinggi pada semua peringkat organisasi. - Foto DagangNews
KUALA LUMPUR: Vantris Energy Bhd bukan subjek bagi mana-mana siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan tidak dimaklumkan mengenai sebarang dakwaan terhadapnya atau mana-mana pegawai atau pengarah semasanya, menurut syarikat itu.
Vantris Energy, yang sebelum ini dikenali sebagai Sapura Energy Bhd, memberi maklum balas terhadap pengumuman terkini oleh SPRM berkenaan dengan rancangan pelucuthakan wang berkait dengan kumpulan itu, yang didakwa telah disalahgunakan oleh pihak yang tidak didedahkan pada 2018.
"Kami ingin memberi jaminan kepada para pelanggan, rakan kongsi dan pemegang kepentingan bahawa operasi dan aktiviti kewangan kami, termasuk akses kepada aset dan akaun bank, kekal tidak terjejas," tambahnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam.
Vantris Energy memaklumkan pihaknya telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sebelum ini dan kekal komited untuk memberikan sebarang bantuan lanjut yang diperlukan oleh pihak berkuasa.Syarikat itu juga menyatakan kumpulan itu mengamalkan dasar antirasuah dan antikorupsi yang ketat serta telah melaksanakan kawalan dalaman dan prosedur untuk mengurus dan mengurangkan risiko sedemikian dengan berkesan.
"Sebagai syarikat senaraian awam, kami komited untuk mengekalkan piawaian tadbir urus korporat, ketelusan dan integriti yang tinggi pada semua peringkat organisasi," jelasnya.
Pada Selasa lepas, SPRM menjelaskan pihaknya akan melaksanakan pemulihan wang RM12 juta yang dipercayai berkaitan dengan dua kes melibatkan Sapura Energy.
Semasa sidang media, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya, dengan kelulusan timbalan pendakwa raya, bersetuju untuk melaksanakan proses berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami