MALAYSIA
Sekuriti makanan: Harga siling bergerak perlu dilakukan dengan bijak - Pakar

Langkah Kerajaan untuk memperkenalkan harga siling bergerak yang berubah kepada faktor harga input perlu dilaksanakan secara bijak. Gambar fail
KUALA LUMPUR : Langkah kerajaan untuk memperkenalkan harga siling bergerak yang berubah kepada faktor harga input perlu dilaksanakan secara bijak.
Pensyarah Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Agrikultur, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Norsida Man berkata, ia berikutan pelaksanaan mekanisme itu memerlukan sokongan pihak pengeluar dan pengguna.
Pengeluar katanya sudah tentu mahukan harga jualan yang menguntungkan manakala, pengguna memerlukan harga berpatutan dan tidak membebankan.
"Jadi sebelum ditetapkan, sebenarnya harga siling bagi barang makanan kena semak dulu berdasarkan perubahan kos, pelbagai input dalam rantaian bekalan makanan tersebut, jadi kerajaan cuba tetapkan harga siling itu supaya ada keseimbangan pasaran antara harga dan permintaan.
"Apa yang cuba diperkenalkan kerajaan adalah harga siling bergerak mengikut faktor harga input. Contoh kalau kita ambil harga siling ayam, maka faktor harga input itu ialah barangan makanan ternakan dan ia sentiasa berubah, selalunya ia (harga) tidak turun, ia akan selalu naik, maka pendekatan harga siling itu tidak tetap. Ia bergerak mengikut harga input. Pendekatan ini sebenarnya perlu diambil secara bijak kerana ia perlu menyokong dua pihak iaitu pengeluar, dan pengguna," katanya kepada Astro AWANI.
Malah katanya, kebaikan pelaksanaan harga siling bergerak bagi jangka pendek ialah kerajaan akan dapat mengawal harga melampau yang dikenakan oleh penjual.
"Maka, pengguna dapat bekalan makanan yang mencukupi dalam masa terdekat. Kalau kita dapat kenaikan harga mentah itu, kita dapat kawal jualan harga sekunder," jelasnya lagi.
"Contohnya ayam , jadi macam harga ayam itu kita boleh kawal. Kita boleh mengelakkan peniaga atau peruncit menaikkan harga sesuka hati kepada pengguna," tambahnya lagi.
Bagaimanapun jelasnya, pelaksanaan harga siling bergerak dalam tempoh masa yang panjang dibimbangi akan menimbulkan isu gangguan pengeluaran, kekurangan produk, lebihan caj pengeluar dan kemungkinan pengeluar merendahkan kualiti sesuatu produk.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami