KUALA LUMPUR: Penangguhan aktiviti sosial termasuk aktiviti korban sempena Hari Raya Aidiladha disifatkan wajar memandangkan negara masih belum mencapai imuniti kelompok.

Ia perlu kata Pakar Kesihatan Awam Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Madya Dr Helmy Hazmi yang mengaitkan peningkatan kes dan kluster baharu COVID-19 susulan sambutan perayaan Aidilfitri dan Hari Gawai yang lalu.

Tambahnya, situasi ini lebih berisiko apabila ramai yang memilih untuk tidak memakai pelitup muka ketika bergaul dengan individu yang dikenali terutama anggota keluarga.

Kelekaan ini secara tidak langsung mendedahkan individu terlibat dengan risiko jangkitan COVID-19.

‘’Kadang-kadang mereka sering menurunkan tahap syak wasangka apabila bertemu dengan orang lain dan menganggap mereka bebas COVID-19.

‘’Bayangkan dengan penganjuran acara korban pada musim perayaan Aidiladha ketika ini, kita melakukan pelbagai aktiviti tanpa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP), pastinya lebih mudah untuk virus ini merebak,’’ ujarnya.

Selain itu ujarnya, penangguhan ini juga dianggap sebagai satu keputusan yang tepat memandangkan negara ketika ini berdepan dengan ancaman penularan varian Delta yang lebih mudah berjangkit.

Justeru, sekiranya berlaku peningkatan kes dan kluster baharu, ia sekali gus mampu mengganggu program vaksinasi yang sedang giat dijalankan di seluruh negeri Sarawak ketika ini.

“Jadi langkah terbaik adalah untuk kita berkorban dahulu untuk tahun ini dan insyallah dalam masa setahun lagi apabila lebih 80 peratus populasi divaksinasi, pastinya kita boleh menjalankan aktiviti-aktiviti ini tahun depan,’’ tambahnya.

Dr Helmy berkata demikian dalam program perbincangan secara langsung menerusi Facebook Borneo Channel.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat 30 Jun 2021, 40 kes positif COVID-19 melibatkan varian Delta dikesan di Malaysia setakat ini.