KUALA LUMPUR: SELangkah menafikan penglibatannya dalam isu tempahan slot vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Iesta Tengku Alaudin, tuduhan dan dakwaan sesetengah pihak berkenaan penglibatan pihaknya dalam isu tempahan vaksin itu adalah tidak benar.

"Merujuk kepada kenyataan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bertarikh 28 Mei 2021 berkenaan masalah serta kecelaruan yang dihadapi berkenaan tempahan slot vaksin AstraZeneca, SELangkah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dan dakwaan yang tidak mempunyai asas sama sekali.

"Pihak SELangkah menegaskan bahawa tidak mempunyai sebarang penglibatan berkenaan hal itu seperti yang didakwa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam masa yang sama jelas beliau, pihaknya juga tidak pernah dihubungi oleh pihak CITF berhubung perkara tersebut seperti yang didakwa.

"Pihak SELangkah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan dakwaan palsu yang bertujuan mencemar reputasi kami (SELangkah)," tegasnya.

BACA: CITF terima aduan ada janji temu AstraZeneca ditempah tanpa persetujuan penerima

Terdahulu, CITF dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan terdapat aduan daripada sebilangan individu yang telah diberikan janji temu vaksin AstraZeneca walaupun tidak pernah membuat tempahan.

Jelas kenyataaan itu, terdapat juga aduan diterima berlakunya penggantian janji temu vaksin tersebut terhadap penerima tertentu.

Siasatan awal mendapati terdapat juga tempahan dalam jumlah yang ramai yang dilakukan menerusi beberapa alamat protokol internet (IP) yang sama.

Salah satu pihak yang dihubungi oleh CITF adalah pihak SELangkah.