KUALA LUMPUR: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) memaklumkan terdapat aduan sebilangan individu yang telah diberikan janji temu vaksin AstraZeneca walaupun tidak pernah membuat tempahan.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Jelas kenyataan itu, terdapat juga aduan diterima berlakunya penggantian janji temu vaksin bukan AstraZeneca dengan janji temu AstraZeneca terhadap penerima tertentu.

"Antara aduan yang telah diterima termasuklah janji temu yang telah diberikan sebelum ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bukan AstraZeneca telah digantikan dengan janji temu vaksin AstraZeneca.

"Hasil semakan dan siasatan awal mendapati bahawa beberapa slot vaksin AstraZeneca telah ditempah bagi pihak orang lain dalam jumlah yang ramai, tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan individu terbabit khususnya untuk menerima vaksin AstraZeneca," jelas kenyataan itu.

Siasatan awal mendapati tempahan dalam jumlah yang ramai itu telah dilakukan menerusi beberapa alamat protokol internet (IP) yang sama.

"Pihak CITF telah menghubungi salah satu pihak yang telah membuat tempatan slot dalam jumlah yang ramai iaitu pihak SELangkah.

"Pihak SELangkah turut memaklumkan bahawa mereka telah membuat tempahan bagi slot AstraZeneca tanpa terlebih dahulu membuat semakan sama ada individu dalam pangkalan data ImuniSEL setuju untuk menerima vaksin AstraZeneca, maka menggantikan janji temu yang telah diberikan sebelum ini, sekiranya ada," jelas kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, pihak SELangkah telah memberikan jaminan untuk bekerjasama dengan CITF bagi menyelesaikan isu terbabit demi memastikan individu terbabit mendapat balik janji temu sebelumnya.

BACA: SELangkah nafi penglibatan dalam isu tempahan slot AstraZeneca

"Kesulitan yang timbul ini akan diatasi sebaik mungkin dan CITF akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memastikan lebih ramai individu menerima vaksin dan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai," ujar kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, sebanyak 1,261,000 dos vaksin AstraZeneca telah ditawarkan, di mana 275,208 dos telah ditempah oleh warga emas.

Seramai 29,183 orang dalam senarai menunggu vaksin AstraZeneca pusingan pertama sebelum ini telah dimasukkan ke dalam senarai giliran bagi fasa dua inisiatif itu.

Untuk rekod, sebanyak 956,609 tempahan bagi penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas telah dipenuhi.