Selangor harap kaedah pengajaran berpasukan tingkat keberkesanan PDP - Amirudin

Amirudin berharap pendekatan baharu pengajaran yang melibatkan dua guru dalam satu kelas itu dapat diuji terlebih dahulu bagi menilai impaknya terhadap guru dan murid. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor berharap kaedah pengajaran berpasukan atau 'co-teaching' yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) dapat membantu meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) selain menangani isu-isu berbangkit berkaitan sekolah.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya berharap pendekatan baharu pengajaran yang melibatkan dua guru dalam satu kelas itu dapat diuji terlebih dahulu bagi menilai impaknya terhadap guru dan murid.
"Saya harap ia dapat membantu guru dalam menangani dan berhadapan dengan kes tertentu di sekolah.
"Saya percaya kita berdepan pelbagai cabaran termasuk isu infrastruktur dan aspek lain seperti kes-kes buli yang memerlukan pendekatan baharu dalam menanganinya," katanya selepas melancarkan inisiatif Ambulans Kita Selangor di pekarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Amirudin yang bertanggungjawab terhadap portfolio pendidikan negeri bagaimanapun berkata pihaknya belum menerima penerangan atau maklum balas rasmi berhubung pelaksanaan inisiatif itu.
"Saya belum diberi penerangan mengenai perkara itu lagi tetapi saya percaya pihak KPM sedang merangka semua kemungkinan yang boleh untuk memastikan isu-isu berkaitan sekolah dapat ditangani dengan baik," katanya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata kaedah 'co-teaching' bersama dua guru dalam satu kelas adalah antara pendekatan baharu bakal dilaksanakan dalam Kurikulum Persekolahan 2027, yang diperkenalkan KPM di seluruh negara bagi menekankan keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembentukan karakter pelajar.
Fadlina berkata inisiatif yang membabitkan mata pelajaran baharu Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu pada Tahap I itu adalah sejajar dengan matlamat KPM untuk melahirkan generasi pelajar yang bukan saja cemerlang dari segi ilmu tetapi juga memiliki jati diri kukuh, berdisiplin, beradab dan bernilai moral tinggi.
Kaedah itu juga dilaksanakan bagi memastikan proses PdP menjadi lebih menarik serta berkesan kerana ia memberi ruang kepada guru menjadi lebih kreatif dan interaktif dalam melaksanakan PdP.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah tujuan utama pengenalan kaedah pengajaran berpasukan atau 'co-teaching' oleh Kementerian Pendidikan kepada sekolah? A: Kaedah 'co-teaching' diperkenalkan untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) selain menangani isu-isu berbangkit berkaitan sekolah.
- Q: Bagaimanakah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, mengharapkan kaedah 'co-teaching' dapat memberi impak kepada guru dan murid? A: Datuk Seri Amirudin Shari berharap pendekatan baharu pengajaran 'co-teaching' dapat membantu guru menangani dan berhadapan dengan kes tertentu di sekolah serta menilai impaknya terhadap guru dan murid.
- Q: Apakah kesan yang diharapkan melalui pelaksanaan kaedah 'co-teaching' dalam Kurikulum Persekolahan 2027? A: Kaedah 'co-teaching' diharapkan dapat menekankan keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembentukan karakter pelajar, serta melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dari segi ilmu dan memiliki jati diri kukuh serta nilai moral tinggi.
- Q: Adakah Menteri Besar Selangor telah menerima maklum balas rasmi berkenaan inisiatif 'co-teaching' dari Kementerian Pendidikan? A: Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan bahawa beliau belum menerima penerangan atau maklum balas rasmi berhubung pelaksanaan inisiatif 'co-teaching', namun yakin bahawa Kementerian sedang merangka kemungkinan untuk menangani isu berkaitan sekolah.
- Q: Mengapakah kaedah 'co-teaching' dianggap penting untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan berkesan? A: Kaedah 'co-teaching' diperkenalkan bagi memastikan proses PdP menjadi lebih menarik serta berkesan dengan memberi ruang kepada guru menjadi lebih kreatif dan interaktif dalam melaksanakan PdP, sejajar dengan matlamat melahirkan generasi pelajar yang berdisiplin, beradab, dan memiliki nilai moral tinggi.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

