SHAH ALAM: Rekod menunjukkan 588 kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah terbabit pelbagai jenayah termasuk merusuh, mencuri, rogol dan bunuh di Selangor sepanjang tahun lepas, kata Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari.

Beliau berkata rekod berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menunjukkan bahawa jenayah paling tinggi dicatatkan ialah merusuh, yang membabitkan 138 orang, dan curi seramai 112 orang.

"Bagi kategori kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun, 11 kes dilaporkan termasuk satu kes rogol dan lima curi motosikal, manakala bagi kanak-kanak berumur 13 hingga 18 tahun, ia membabitkan 577 kes dengan kes merusuh paling tinggi 138 kes, curi 112 kes, kes rogol 85 dan satu kes bunuh," katanya.

Katanya selain itu dalam tempoh yang sama 156 kes penderaan, 190 kes pengabaian, dan 146 kes keganasan seksual terhadap kanak-kanak telah dilaporkan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mariam Abdul Rashid (PH-Meru) berhubung statistik jenayah kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Sementara itu Anfaal berkata kerajaan negeri telah membangunkan Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Selangor dan Pelan Tindakan 2022-2025 yang dilancarkan pada Mei 2023.

"Menerusi tema 'Anak Selangor Anak Kita', Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Selangor bermatlamat untuk mewujudkan golongan kanak-kanak yang terpelihara dari sudut hak, kebajikan, akses kepada sumber dan pembangunan potensi

"Menerusi dasar ini, perlindungan dan keselamatan kanak-kanak turut ditekankan dalam 'Domain 8' yang antaranya bermatlamat mewujudkan persekitaran dan komuniti yang selamat untuk didiami keluarga dan kanak-kanak," katanya.

Katanya sembilan tindakan yang dirancang, antaranya mendapatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis untuk meningkatkan rondaan di sekitar kawasan taman permainan dan rekreasi kanak-kanak.

"Begitu juga menempatkan pengawal keselamatan khusus bagi memantau kanak-kanak termasuk kanak-kanak berkeperluan khas di tempat berisiko," katanya.

-- BERNAMA