MALAYSIA
Remaja dituduh bunuh ibu, abang dan cederakan adik kandung

Van polis dipercayai membawa remaja lelaki berusia 17 tahun yang disyaki menikam ibu dan abang kandungnya dalam kejadian di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, keluar dari Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, 13 Jun 2025. -Gambar fail/Bernama
MELAKA: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Air Keroh di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibu dan abang kandungnya, serta mencederakan adik lelakinya, 12 Jun lepas.
Ringkasan AI
- Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa membunuh ibu dan abang kandungnya serta mencederakan adik lelakinya dalam kejadian di Melaka Tengah pada 12 Jun.
- Tertuduh menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 302 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan, dengan hukuman berat termasuk penjara, sebatan, atau hukuman mati, dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan.
- Mahkamah menetapkan 24 Julai untuk sebutan semula kes, sementara siasatan mendapati senjata digunakan ialah pisau lipat yang disimpan dalam beg sekolah dan suspek ditahan di luar rumah dalam keadaan termenung.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah kerana kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Bagi pertuduhan mencederakan adik lelakinya menggunakan pisau lipat di lokasi, tarikh, dan masa yang sama, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.
Remaja berkenaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian, manakala tertuduh diwakili peguam Cassian Anthony dan tiada sebarang jaminan ditawarkan.
Majistret Uthman Abd Ghani menetapkan 24 Julai depan untuk sebutan semula kes berkenaan.
Pada 12 Jun lepas, media melaporkan seorang guru wanita dan anak sulungnya maut, manakala anak bongsunya cedera parah dipercayai akibat ditikam oleh seorang remaja lelaki yang juga anak kedua mangsa di rumah mereka.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 5 pagi dan ibu tunggal bersama anak lelakinya itu ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu.
Polis menahan suspek yang berada di luar rumahnya yang ketika itu dalam keadaan termenung selain menemukan senjata dipercayai digunakan dalam kejadian, iaitu pisau lipat berukuran 20 sentimeter dengan kesan darah yang disimpan dalam beg sekolah di luar rumah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami