Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Selangor rekod lebih 1,200 kes salah laku pelajar

Bernama 27/10/2025 | 07:30 MYT
Mohd Zaini (tengah) ketika hadir pada Program Reformasi Keselamatan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Bersama PDRM Negeri Selangor di SMK Shah Alam Bukit Jelutong, Seksyen U8 hari ini. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Sebanyak 1,219 kes salah laku direkodkan membabitkan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di Selangor untuk tempoh 10 bulan pertama tahun ini.


Ringkasan AI
  • Sepanjang 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 265 kes melibatkan buli manakala selebihnya pelbagai kesalahan lain, namun tiada sekolah dikategorikan sebagai kritikal.
  • Daripada jumlah kes, sembilan berkaitan buli dan 32 kes lain, tetapi kebanyakannya tidak dapat diteruskan kerana kekurangan keterangan.
  • Polis menekankan pentingnya peranan ibu bapa, sekolah, komuniti dan agensi kerajaan dalam mencegah salah laku pelajar melalui pendekatan sosial dan bukan hanya tindakan undang-undang.


Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Mohd Zaini Abu Hassan berkata daripada jumlah itu, 265 kes diklasifikasikan sebagai buli manakala selebihnya merangkumi pelbagai kesalahan lain.

Beliau berkata pihaknya telah membuka 41 kertas siasatan iaitu sembilan berkaitan buli manakala 32 lagi membabitkan pelbagai salah laku dengan sebahagian besar kes tidak mempunyai keterangan mencukupi untuk siasatan diteruskan.

"Selangor mempunyai hampir 997,000 pelajar serta 60,000 guru, dan jumlah lebih 1,200 kes direkodkan hanya mewakili 0.0125 peratus daripada keseluruhan pelajar.

"Angka ini menunjukkan keadaan masih terkawal dan sehingga kini belum ada sekolah dikategorikan sebagai kritikal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam hari ini.

Mohd Zaini berkata walaupun tiada sekolah dikategorikan kritikal, polis memandang serius isu disiplin dan buli di institusi pendidikan kerana mampu dicegah pada peringkat awal dengan peranan semua pihak termasuk ibu bapa.

Beliau berkata pencegahan bukan hanya melalui tindakan undang-undang, tetapi memerlukan kerjasama erat antara sekolah, komuniti, agensi kerajaan serta ibu bapa bagi memperkasakan tanggungjawab sosial bersama-sama.

Beliau berkata inisiatif mengekang jenayah dan salah laku pelajar kini digerakkan secara menyeluruh dengan sokongan pelbagai agensi kerajaan termasuk polis, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan serta badan bukan kerajaan (NGO) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

-- BERNAMA




#kes salah laku pelajar #sekolah di Selangor #Polis Selangor #buli