Selangor salur bantuan awal kepada mahasiswa

Astro Awani
Oktober 4, 2020 13:53 MYT
AMIRUDIN: Pada ketika ini, Kerajaan Negeri dalam rangka mengumpulkan maklumat ke arah menyediakan tiga bentuk kemudahan kepada pelajar berkenaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor melalui Kaukus ADUN Muda Selangor akan menyalurkan bantuan awalan kepada mahasiswa di Selangor yang belajar di negeri itu, pelajar negeri lain yang belajar di Selangor dan mahasiswa di Selangor yang belajar di negeri lain.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berkata, bantuan itu melibatkan kerjasama Team Selangor, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mahasiswa KEADILAN dan Biro Mahasiswa AMK.
"Pada ketika ini, Kerajaan Negeri dalam rangka mengumpulkan maklumat ke arah menyediakan tiga bentuk kemudahan kepada pelajar berkenaan.
"Ia termasuk pengangkutan kepada mahasiswa yang perlu pulang ke kampung, atau bantuan makanan atau pelitup muka dan pensanitasi tangan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
BACA: Ubah polisi saat akhir bebankan mahasiswa - Syed Saddiq
BACA: UiTM beri RM100 secara 'one-off' kepada pelajar terjejas
BACA: UUM tangguh proses kemasukan pelajar secara fizikal
Kerajaan Negeri juga berharap inisiatif berkenaan akan dapat meringankan beban yang dihadapi golongan mahasiswa yang terkesan pada ketika ini.
Mahasiswa yang memerlukan bantuan-bantuan berkenaan boleh merujuk kepada pautan yang disertakan bagi proses permohonan serta maklumat tambahan.
"Pelajar yang memerlukan bantuan ini boleh merujuk kepada pautan Borang Edaran TS Care Kit (IPTS): http://bit.ly/mdekatA, Borang Bantuan Makanan Siswa Kampus Selangor (IPTA Sahaja): http://bit.ly/mdekatB dan Borang Bantuan Pengangkutan Anak Negeri Selangor: http://bit.ly/mdekatC," ujarnya.
Ujarnya, situasi COVID-19 yang semakin membimbangkan memberi cabaran serius kepada rakyat, khususnya mahasiswa akibat risiko jangkitan virus COVID-19 serta ketidaktentuan status di pusat pengajian masing-masing.
#Menteri Besar #ADUN #pelajar #kerajaan #koronavirus #COVID-19 #Kaukus ADUN Muda Selangor #mahasiswa #siswa #ipta #ipts