SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak berhasrat mengenakan caj kepada pengunjung yang melawat bangunan warisan sedia ada yang telah diwarta kerajaan negeri.

Exco Perumahan dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah berkata, antara bangunan sejarah telah diwarta kerajaan Selangor seperti Gedung Raja Abdullah, Klang dan Istana Panda.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri sedang berusaha untuk mewartakan beberapa lagi bangunan warisan lain seperti Hospital Kusta dan warisan Kapal Korek di Dengkil.

"Saya harap beberapa tempat lagi dalam usaha hendak diwartakan dan dalam proses untuk dokumentasi.

"Kerajaan negeri memandang serius bangunan warisan kerana kita tidak mahu ia pupus jika tidak mengambil langkah-langkah untuk mewartakan bangunan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Festival Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) D'Desa @ Selangor di Dataran Nakhoda, Bagan Nakhoda Omar di sini pada malam Sabtu.

Bagaimanapun, Borhan berkata, pada masa ini hanya Muzium Permainan Tradisional, Bukit Melawati Kuala Selangor dikenakan caj sebanyak RM3 seorang beserta tiket perkhidmatan trem yang dikendalikan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

"Selepas ini, kita tidak berniat untuk mengutip caj di bangunan bersejarah lain yang telah diwartakan melainkan hanya di Muzium Permainan Tradisional (Bukit Melawati)," jelasnya.

Borhan berkata, sebelum ini muzium permainan itu tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pengunjung, tetapi pelaksanaan caj mula berkuat kuasa pada Jun lalu.

Beliau memberitahu, caj itu dikenakan kerana ia melibatkan kos yang tinggi membabitkan penyelenggaraan dan peralatan.

"Pengunjung yang datang boleh membawa keluarga dan bermain segala alatan yang disediakan di muzium ini," tambahnya.

Ditanya berapa kutipan yang telah diperoleh selepas pelaksanaan caj di muzium tradisional itu, Borhan memberitahu, beliau belum menerima laporan kerana pelaksanaan itu baharu bermula.

Dalam pada itu, Borhan berkata, kerajaan negeri bersedia menjadi hab atau pangkalan kepada pusat pengiktirafan yang memberi peluang kepada penggiat seni tempatan untuk menyerlahkan identiti dan keperibadian budaya tempatan setara dengan nilai sumbangan dalam bidang-bidang lain.

Beliau memberitahu, Selangor merupakan sebuah negeri yang terletak di kawasan strategik yang menjadi pintu masuk ke negara ini.

"Selangor berlapang dada untuk menjadikan negeri ini sebagai hab budaya supaya kita dapat memberikan impak besar bukan sahaja untuk ekonomi negeri tetapi untuk negara.

"Dengan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri dan pusat dapat memastikan bahawa budaya dan seni warisan ini dapat diteruskan untuk generasi akan datang," ujar beliau. - Sinar Harian