Selangor tidak menghalang wanita di negeri itu daripada dilantik sebagai hakim syarie sepertimana yang didakwa sesetengah pihak, kata Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Sebaliknya, beliau berkata fatwa yang dikeluarkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 26 dan 27 Jun 2006, hanya menentukan had dan ruang lingkup tertentu di mana wanita tidak harus dilantik sebagai hakim syarie dalam kes-kes berkaitan hukum hudud dan qisas.

"Ini bermakna bahawa hakim wanita boleh dilantik dalam kes-kes selain daripada berkaitan hukum jenayah contohnya dalam kes mal termasuklah kes kekeluargaan dan penentuan ahli waris faraid.

"Keputusan fatwa ini adalah juga sama sekali tidak bercanggah dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-73 yang bersidang pada 4 hingga 6 April 2006 yang memutuskan bahawa wanita harus dilantik menjadi hakim syarie dalam kes-kes selain daripada hudud dan qisas," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Mohamad Adzib berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Rabu lalu bahawa keputusan tidak konsisten dibuat oleh Majlis Fatwa Negeri dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan telah menghalang wanita daripada menjadi hakim mahkamah syariah.

Jelas Mohamad Adzib, pelantikan hakim syarie bagi Mahkamah Syariah di Selangor adalah di bawah kuasa Sultan Selangor atas nasihat Majlis Fatwa Negeri dan prosedur pelantikan tersebut telah diperuntukkan dengan jelas dalam Bahagian IV Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana pihak supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi dengan memberi gambaran tidak tepat berhubung fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Dalam kenyataannya, Shahrizat turut meminta pihak-pihak yang berkaitan supaya menimbang semula keputusan untuk menolak atau menangguhkan pelantikan hakim syariah wanita terutama di Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak.

Sebelum itu pada hari yang sama, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah dan Ketua Hakim Syarie, Tan Sri Dr Ibrahim Lembut dilaporkan berkata ketidakseragaman keputusan majlis fatwa di peringkat negeri menyebabkan usaha untuk melantik lebih ramai hakim syariah wanita terbantut sekali gus menutup peluang kenaikan pangkat pegawai-pegawai syariah dalam kalangan wanita.

Menurut Ibrahim, lima negeri yang setakat ini bersikap lebih terbuka dan menerima hakim syariah wanita adalah Kuala Lumpur, Melaka, Sabah, Perlis dan Kelantan manakala negeri lain tertakluk kepada keputusan majlis fatwa negeri masing-masing yang dikatakan kurang berminat, belum bersedia dan tidak membenarkan hakim syariah dalam golongan gender berkenaan.