Skip to main content

Malaysia

Selangor umum cuti peristiwa 1 September sempena kemenangan SUKMA 2026

Sukma Selangor_BERNAMA.
Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan Selasa depan (1 September) sebagai cuti peristiwa sempena kejayaan kontinjen negeri itu muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026. - Gambar fail
Advertisement

SELANGOR: Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan Selasa depan (1 September) sebagai cuti peristiwa sempena kejayaan kontinjen negeri itu muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari susulan kejayaan Selangor mengungguli kutipan pingat keseluruhan pada temasya berkenaan.

"Selaku Menteri Besar Negeri Selangor, saya tumpang gembira atas prestasi anda yang sungguh membanggakan. 

"Atas prestasi yang luar biasa pada SUKMA 2026 dan sebagai tanda penghargaan kepada setiap atlet, pegawai, sukarelawan, ibu bapa yang telah membantu, saya berbesar hati mengumumkan Kerajaan Negeri Selangor mengisytiharkan cuti peristiwa khas pada 1 September 2026, iaitu pada hari selasa depan," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan SUKMA XXII2026, hari ini.

Untuk makluman, Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII 2026 selepas mengungguli kutipan pingat dengan 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa.

Pencapaian itu menyaksikan Gergasi Merah melepasi sasaran awal 80 pingat emas yang ditetapkan sebelum temasya bermula.

Selangor tampil dominan dalam acara renang dengan 20 emas, tujuh perak dan 11 gangsa, selain masing-masing meraih lima emas dalam gimnastik artistik, muay thai dan silambam.

Kontinjen tuan rumah turut meraih empat emas dalam BMX, catur dan boling tenpin, manakala masing-masing tiga emas disumbangkan menerusi terjun, tinju, berbasikal jalan raya dan pencak silat.

Terdahulu, media melaporkan Kerajaan Selangor akan mempertimbangkan pemberian cuti peristiwa sekiranya kontinjen negeri itu berjaya menjadi juara keseluruhan SUKMA Selangor 2026.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi, sebelum ini dipetik berkata perkara berkenaan akan dimuktamadkan selepas keputusan kutipan pingat keseluruhan diperoleh.

 

Must Watch Video

Advertisement