CELEPETS dengan kerjasama Mompreneur Asia terus mempergiatkan usaha membantu usahawan mikro, khususnya dalam kalangan ibu tunggal, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Pengasas bersama Mompreneur Asia, Niney Chong berkata, usaha itu bagi memastikan kumpulan tersebut mampu menjana pendapatan dari rumah, selain memberi platform untuk mempromosikan perniagaan mereka.

Menerusi program bimbingan dikenali Power to Empower, Niney berkata pihaknya turut melancarkan inisiatif baharu yang kenali sebagai “Product and Brand Awareness Show” dengan memberikan panduan secara dalam talian.

“Melalui program Power to Empower - Product and Brand Awareness Show ini, setiap hari Isnin hingga Jumaat, kami akan menolong usahawan mikro membuat brand shoutout.

"ini supaya usahawan-usahawan mikro ini masih dapat meneruskan perniagaan dari rumah dan lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang tahu mengenai bisnes, jenama dan perkhidmatan mereka.

“Saya sangat berterima kasih dengan pihak Celepets kerana sudi bekerjsama dan sangat aktif dalam membantu menjayakan program Product and Brand Awareness Show,” katanya kepada Astro AWANI.

Selain itu, jelas Niney, Celepets dan Mompreneur Asia ketika ini dalam proses merekod semua modul pembelajaran untuk dimuat naik ke platform e-learning.

Ia bagi memudahkan usahawan mikro mendapatkan bahan rujukan berikutan yang berdepan kekangan ketika sesi ‘virtual learning’ akibat masalah jaringan internet.

Menerusi program Power to Empower - Product and Brand Awareness Show, peserta berpeluang bersiaran langsung secara eksklusif bersama selebriti terkenal negara bagi berkongsi mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mereka.

Antara selebriti yang terlibat termasuk penyampai radio dan pengasas bersama Mompreneur Asia, Aishah Sinclair; Sazzy Falak; Atilia Haron, Daphne Iking, Dynas Mokhtar, Serena C dan Yasmin Hani.

Untuk rekod, Celepets atau Celebrities With Pet Projects dibangunkan oleh tujuh selebriti tersebut pada Mei 2019 sebagai usaha membantu golongan yang memerlukan.