Skip to main content

Malaysia

Selepas pulihkan kerugian RM13 bilion Tabung Haji, PM disaran tumpu Felda, MARA

Dr Ahmad Ismail
Ahmad berkata Felda dan MARA mempunyai peranan penting dalam pembangunan masyarakat Melayu, selaras dengan agenda yang diketengahkan menerusi Kongres Ekonomi Bumiputera, khususnya dalam aspek pendidikan dan keusahawanan. - Foto Akademi Sains Malaysia
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran meneruskan usaha memperkukuh tadbir urus badan berkanun lain termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), selepas berjaya memulihkan kedudukan Lembaga Tabung Haji (TH).

Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Ahmad Ismail berkata langkah itu penting demi memastikan kebajikan rakyat serta kepentingan negara terus terpelihara, selain menangani isu tadbir urus yang berlaku dalam institusi berkenaan.

Beliau berkata walaupun belum sepenggal menerajui pentadbiran negara, Anwar telah membuktikan keupayaannya menerusi pelaksanaan skim pemulihan TH yang sebelum ini berdepan kerugian hampir RM13 bilion.

"Bagi masa seterusnya dalam penggal ini dan insya-Allah dalam penggal kedua sebagai PM, Anwar disaran meneruskan geledah dan rawat Felda dan MARA yang kita dengari sebelum ini mempunyai banyak masalah tadbir urus.

"Itulah kekuatan Anwar dan apa yang Malaysia perlukan. Dasar antirasuah yang beliau amalkan bukan sahaja menyelamatkan duit pembayar cukai dan para peneroka seperti dalam kes Felda, malah Anwar diperlukan lagi untuk membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengesahkan jumlah kerugian hampir RM13 bilion, merangkumi kerugian RM10.2 bilion yang ditanggung dana kerajaan melalui Urusharta Jamaah pada 2018 dan rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung TH sendiri.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkata Felda kini menanggung kerugian hampir RM10 bilion akibat salah urus serta campur tangan politik berlebihan, selepas beliau kembali menerajui pentadbiran negara.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf dilaporkan menjelaskan kerugian MARA Inc berjumlah RM286.30 juta yang terkumpul dari 2012 hingga 2022, seperti dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024, berpunca daripada pembelian aset luar negara, khususnya di Australia dan United Kingdom (UK), antara 2012 hingga 2014.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata Felda dan MARA mempunyai peranan penting dalam pembangunan masyarakat Melayu, selaras dengan agenda yang diketengahkan menerusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB), khususnya dalam aspek pendidikan dan keusahawanan.

Katanya, perkara itu semakin penting ketika kerajaan memberi penekanan terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Lebih 360 sekolah Felda perlu diberikan perhatian sesuai dengan matlamat penubuhan Felda dan resolusi KEB, begitu juga dengan MARA. Pencapaian pembangunan dalam pendidikan dan keusahawanan mesti diaudit.

"Perkara ini perlu dilakukan Perdana Menteri bersesuaian dengan perjuangan beliau membasmi kemiskinan melalui pendidikan dan keusahawanan," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri mengarahkan pengurusan Felda menyediakan laporan lengkap berhubung cadangan penjualan sebuah hotel milik agensi itu yang didakwa pada nilai jauh lebih rendah berbanding harga pembelian asal.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mendedahkan beliau enggan menandatangani dokumen kelulusan jualan tersebut selepas mendapati hotel berkenaan mahu dijual pada harga 100 juta pound Britain (RM549 juta), sedangkan ia dibeli oleh pengurusan terdahulu pada harga 160 juta pound Britain (RM879 juta).

Must Watch Video

Advertisement