Skip to main content

Dunia

Amerika Syarikat mampu kekalkan sekatan ke atas Iran ‘tanpa had’ - Hegseth

Defense Secretary Pete Hegseth testifies at a Senate Appropriations Committee hearing, Tuesday, July 21, 2026, on Capitol Hill in Washington. (AP Photo/Jacquelyn Martin)
Hegseth mendakwa Iran sedar ia tidak dapat keluar masuk menerusi kawasan sekatan itu dan bahawa tiada tempoh masa ditetapkan bagi pelaksanaannya. - Gambar fail/AP
Advertisement

WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth pada Khamis berkata negara itu mampu mengekalkan sekatan ke atas pelabuhan Iran “tanpa had”, lapor Anadolu Ajansi.

“Kami boleh mengekalkan sekatan itu selama yang diperlukan.

“Tentera Laut Amerika Syarikat mampu mengekalkan sekatan seperti itu tanpa had kerana kami boleh menggilirkan kapal keluar dan masuk seperti yang telah dilakukan dan akan terus dilakukan,” kata Hegseth kepada pemberita di Panama.

“Tiada negara atau tentera laut lain di dunia mempunyai keupayaan membentuk benteng keluli seperti Tentera Laut AS, apatah lagi kesediaan untuk menggunakannya seperti yang kami lakukan,” kata beliau.

Hegseth berkata Iran sedar ia tidak dapat keluar masuk menerusi kawasan sekatan itu dan bahawa tiada tempoh masa ditetapkan bagi pelaksanaannya.

Presiden AS Donald Trump awal minggu ini berkata negaranya mempunyai “kawalan penuh” ke atas Selat Hormuz dan berikrar untuk mengekalkan sekatan laut berkenaan.

Bagaimanapun, pegawai tentera Iran menolak dakwaan bahawa AS menguasai laluan air itu, dengan Markas Pemerintahan Pusat tentera Iran menyifatkannya sebagai “pembohongan dan rekaan tidak berasas.”

“Dakwaan palsu AS mengenai laluan biasa kapal melalui Selat Hormuz, yang mencerminkan ketidakupayaan dan kekeliruan tenteranya, tidak lain hanyalah pembohongan dan dakwaan tidak berasas,” menurut kenyataan markas tentera itu yang disiarkan penyiar kerajaan Iran, IRIB.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement