MALAYSIA
Selesaikan masalah stok minyak masak, sebelum laksana subsidi bersasar - Penganalisis
Minyak masak paket subsidi satu kilogram yang dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang dalam satu serbuan di Bukit Mertajam. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyelesaikan masalah ketiadaan stok minyak masak bersubsidi di pasaran sebelum meneruskan langkah menyasarkan semula subsidi barangan keperluan asas itu.
Ringkasan AI
Penganalisis Ekonomi PUTRA Business School, Prof. Madya Ida Md Yasin berkongsi pemerhatiannya yang mendapati bekalan minyak bersubsidi sukar didapati di pasar raya.
"Minyak masak bersubsidi tidak sentiasa ada di pasaran. Banyak kali saya ke pasar raya, sukar untuk jumpa, sekali-sekala sahaja saya dapat. Ke mana hilang stoknya saya tidak pasti.
“Maka isunya, bukan sahaja untuk menentukan sama ada pembeli itu warganegara (layak beli barangan bersubsidi), stok pun tidak ada di kedai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Tambah Ida, kerajaan juga perlu memastikan pengusaha kedai runcit kecil dan kedai runcit di luar kawasan tumpuan juga dilibatkan sama dalam pelaksanaan penyasaran subsidi ini. Beliau tidak mahu hanya syarikat besar sahaja layak membekalkan barangan bersubsidi kepada pengguna.
Dalam temu bual sama, Pensyarah Kanan, Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff pula berpandangan aspek pelaksanaan ini perlu diberikan tumpuan agar kerajaan tidak terperangkap dalam polemik yang berpanjangan.
"Kerajaan perlu ambil tindakan yang lebih proaktif dengan memastikan rakyat boleh terima mekanisme pelaksanaan yang dicadangkan. Mengenai infrastruktur, kita perlu pastikan ia memudahkan dilaksanakan.
“Kalau tidak, ia akan terus menjadi polemik dan isu politik ekonomi yang menjurus kepada banyak pihak tidak puas hati,” ujarnya.
Pada Isnin, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata Kerajaan akan meneliti pelaksanaan penyasaran semula subsidi dan bantuan ke atas barangan subsidi lain seperti gula, beras dan minyak masak secara berperingkat dan berfasa.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan tidak ada ketirisan berlaku serta menjamin subsidi hanya dinikmati oleh mereka yang benar-benar memerlukannya, seperti yang kerajaan laksanakan untuk subsidi diesel dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Ringkasan AI
- Kerajaan perlu selesaikan masalah ketiadaan stok minyak masak bersubsidi sebelum teruskan langkah penyasaran semula subsidi barangan keperluan asas.
- Pemerhatian menunjukkan stok minyak masak bersubsidi sukar didapati di pasar raya, membangkitkan kebimbangan mengenai ketiadaan barang tersebut.
- Penglibatan pengusaha kedai runcit kecil perlu diberi penekanan dalam pelaksanaan penyasaran subsidi.