Ianya bermula dengan memegang sebuah telefon bimbit yang mempunyai pixel kamera yang baik, kemudian diangkat kira-kira 45 darjah daripada mata dan tatkala ibu jari menekan butang kamera di telefon pintar, nah, satu teknik mengambil gambar ‘self potrait’ versi digital telah pun dipelajari iaitu ‘Selfie’.

Aktiviti mengambil gambar ‘Selfie’ ini tidak mengambil masa yang lama, selepas menyunting gambar ‘selfie’ tadi menggunakan aplikasi 360, VSCO CAM atau apa sahaja aplikasi, dengan menekan satu butang, gambar ini sudah bersedia untuk dimuat naik dan dikongsikan buat tatapan rakan-rakan, peminat-peminat, saudara-mara di laman sosial.

Mudah, namun isu ‘Selfie’ ini selalu menjadi perdebatan ramai pihak terutama pada tahun 2014.

Ada yang melihatnya sebagai satu aktiviti yang menarik untuk mengisi masa lapang, satu aktiviti untuk dilakukan bersama-sama rakan-rakan, dan ada juga yang melihat perkara ini boleh dikaitkan dengan masalah mental dan boleh menyebabkan kehilangan keyakinan diri.

Berdasarkan hashtag #selfie di laman sosial Instagram, setakat 25 Disember sebanyak 210,251,782 gambar ‘selfie’ telah dimuat naik.

Selfie Tun Mahathir
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil gambar 'selfie' bersama para wartawan dan pelajar Unimas pada 21 March, 2014. - Foto Andika Ariff


KLIK GALERI FOTO: Album Selfie Terbaik 2014

‘Selfie’ sebelum ini dinamakan ‘Word of the year’ oleh Oxford Dictionary pada tahun 2013 walaupun perkataan ‘selfie’ itu sendiri baru didaftarkan ke dalam OxfordDictionaries.com pada bulan Ogos 2013.

Pada 25 Mei yang lalu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Awang Sariyan berkata perkataan popular yang lahir seiring perkembangan teknologi seperti 'selfie', 'hashtag' dan 'tweet' akan menjadi sebahagian daripada Kamus Dewan.

Beliau berkata ia selari dengan peranan kamus iaitu merakam penggunaan kata secara meluas oleh masyarakat.

Trend popular mengambil gambar ‘selfie’ ini seperti tidak akan surut, bahkan makin ramai yang menggunakan teknik mengambil gambar ini termasuk dalam kalangan pemimpin.

Tahun 2014 menjadi saksi bagaimana ‘selfie’ ini kadang-kala boleh mendatang kemudaratan, tragedi, kontroversi atau bagaimana ia boleh berevolusi daripada sebuah objektif untuk belajar sesuatu perkara yang baru kepada satu fenomena global.

‘Selfie’ Ellen Degeneres

Dua tahun lalu, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama memuat naik foto beliau memeluk isterinya di laman sosialnya sejurus selepas memenangi pilihan raya presiden negara itu dan gambar itu disenaraikan sebagai foto paling di re-tweet di dalam sejarah Twitter.

Namun pada Mac 2014, Ellen Degeneres mengulangi kejayaan itu, apabile 'selfie' foto-nya menerima bilangan re-tweet lebih banyak daripada gambar Obama, sekaligus memecahkan rekod twitter.

Hos Oscar 2014 itu mengambil 'selfie' popular itu apabila beliau bergambar bersama selebriti seperti Brad Pitt, Angelina Jolie, Jared Leto, Bradley Cooper, Jennifer Lawrence, Lupita Nyong'o, Kevin Spacey, Channing Tatum, Julia Roberts, Meryl Streep dan yang lain.



Maut ketika rakam 'selfie' bersama pistol

Pada 5 Ogos, percubaan Oscar Otero Aguilar yang berusia 21 tahun untuk merakam gambar 'selfie' bersama sepucuk pistol bertukar menjadi tragedi apabila pistol yang diisi dengan peluru itu meledak dengan tidak sengaja.

Ketika kejadian, dia dilaporkan sedang minum bersama rakan-rakan. Oscar mengambil sepucuk pistol untuk tujuan merakam ‘selfie’ untuk dimuat naik di laman sosial Facebook.

Pistol itu tiba-tiba meledak dan sebutir peluru terkena bahagian kepala Oscar. Dia mati di tempat kejadian.

Jatuh gaung ketika bergambar ‘selfie’

Pasangan warga Poland yang sedang bercuti pada bulan Ogos yang lalu di Portugal mati setelah jatuh gaung ketika cuba bergambar ‘selfie’ di tebing sebuah cenuram.

Menurut portal berita Mashable, penyiasat percaya pasangan itu melepasi halangan berhampiran tebing cenuram Cabo de Roca untuk bergambar 'selfie', apabila mereka tergelincir dan jatuh ke gaung.

Rakyat Malaysia cuba pecah rekod 'selfie' dunia

Bagi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), mereka mempunyai cara unik untuk mengeratkan hubungan pelbagai lapisan masyarakat dengan menganjurkan cubaan memecahkan rekod dunia bagi jumlah 'selfie' terbanyak pada bulan sambutan kemerdekaan yang lalu.

Lebih 700 peserta berdaftar untuk mengambil bahagian dalam acara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Muhammad Aziph Datuk Mustapha, berkata acara ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia sentiasa positif, kreatif dan tidak takut menghadapi cabaran walaupun negara ini telah menghadapi banyak cabaran terutama sejak kebelakangan ini.

Peserta selfie
Para peserta tidak pulang dengan tangan kosong kerana mereka telah diberikan sijil penyertaan dan beg cenderahati atas sumbangan mereka dalam acara ini.

Secara purata 10 selfie perlu diambil dalam seminit untuk memecahkan rekod terdahulu iaitu 421 selfie dalam sejam yang dipegang pelakon Kanada, Melinda Shankar.

‘Selfie’ Haji

Tabiat mengambil selfie ketika menunaikan Haji menimbulkan kemarahan golongan ulamak di Arab yang mendesak peraturan larangan mengambil gambar di kawasan ibadah Haji.

'Selfie' Haji
Kelihatan seorang lelaki sedang mengambil gambar menggunakan telefonnya di Mekah - Foto Reuters

Timbul persoalan dalam kalangan umat Islam di Malaysia mengenai hukum fenomena mengambil gambar ‘selfie’ ini jika ianya haram ketika melakukan Haji di Mekah .

Imam Muda Asyraf, 30 berkata mengambil gambar di Mekah atau di depan Kaabah bukan satu perbuatan yang berdosa.

Beliau berkata masalah yang kemungkinan akan timbul adalah apabila terdapat gangguan terhadap individu tersebut dan juga orang lain ketika melakukan ibadah haji akibat sibuk mengambil 'selfie'.

‘Donut Selfie’

Kira-kira pertengahan Oktober lalu, seorang bekas pekerja Microsoft, Karen X Cheng memperkenalkan ‘Donut selfie’.

Pada mulanya beliau ingin mencari sudut yang sesuai untuk selfie. Tanpa disedari, beliau merakamkan sebuah video dan hasilnya adalah satu video dengan pusingan 360 darjah.

Usahawan itu telah menubuhkan satu laman web iaitu donutselfie.com dan kini sedang mengumpul ‘donut selfie’ dari seluruh dunia.

Berikut adalah ‘donut selfie’ yang dimuat naik oleh Karen di laman sosial YouTube pada 14 Oktober 2014:



‘Selfie’ #sydneysiege

Krisis tebusan di Sydney yang menjadi perhatian dunia baru-baru ini melihatkan tabiat sebilangan orang ramai yang mengambil gambar 'selfie' yang kurang sensitif tentang persekitaran tempat, masa dan keadaan disekelilingnya.

Ini kerana kejadian yang mendebarkan di kafe Lindt di mana seorang lelaki bersenjata menahan beberapa orang tebusan dan memaparkan bendera kumpulan militan IS, menarik perhatian beberapa pengunjung ke kawasan itu untuk mengambil gambar 'selfie' masing-masing.

Tindakan itu dikritik hebat di laman media sosial, terutamanya Twitter, sehingga ada hashtag yang direka untuk topik itu, iaitu #sydneyselfie dan #selfieshame.



Banyak lagi insiden-insiden yang melibatkan 'selfie' berlaku sepanjang tahun 2014. Antaranya pada 31 Julai, Francois Hofer dipijak lembu jantan di Perancis ketika cuba mengambil gambar 'selfie’ di hadapan haiwan itu. Dia bernasib baik kerana terselamat.

Baru-baru ini pula, beberapa orang doktor bedah, dan jururawat di China dipecat selepas memuat naik gambar 'selfie' yang menunjukkan mereka berjaya melakukan satu pembedahan selama tujuh jam, lapor The Telegraph.

Gambar-gambar 'selfie' yang diambil di sebuah hospital swasta ini dikatakan sebagai satu penghinaan kepada pesakit dan profesion perubatan.

Kadang kala satu perkara mudah seperti dengan mengambil gambar 'selfie' tidak boleh dipandang remeh kerana ia sebenarnya mampu menyebabkan tragedi jika tidak berhati-hati dan tidak peka dengan keadaan sekeliling.

Siapa sangka, dengan satu teknik mengambil gambar yang mudah mampu menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku tanpa kita sedari walaupun kita hanya mahu berkongsi kegembiraan, cerita dan informasi yang kita ada.

Berhati-hatilah tatkala jika anda mahu menekan butang kongsi gambar 'selfie' ke laman sosial Facebook, Twitter, Instagram atau sebagainya. Peka dengan keadaan sekelilingi, bertanya kepada yang lebih pakar jika timbul keraguan dalam diri. Teknologi yang kita kecapi pada hari ini adalah seharusnya membantu meringankan kerja kita, bukannya sebaliknya. Jadi milikilah dengan sebaik-baiknya.