KUALA LUMPUR: Sebanyak 29 kawasan di Semenanjung merekodkan cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga setakat 4.30 petang tadi, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

MetMalaysia dalam kemas kini status cuaca panas di Facebook memaklumkan kawasan terlibat ialah seluruh Perlis; Baling, Kota Setar, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Padang Terap, Pokok Sena, Kuala Muda dan Sik di Kedah serta Hulu Perak dan Kuala Kangsar di Perak.

Turut tersenarai Sepang di Selangor; Jelebu, Seremban, Jempol, Rembau, Tampin (Negeri Sembilan); Alor Gajah dan Jasin (Melaka); Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Segamat (Johor); Bera, Maran, Raub dan Temerloh (Pahang) serta Jeli (Kelantan), manakala di Sabah melibatkan Keningau sementara di Sarawak hanya Mukah.

Suhu panas tahap satu atau berjaga-jaga merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan keadaan cuaca panas dan kering di kebanyakan kawasan seluruh negara berikutan Malaysia berada dalam fasa akhir Monsun Timur Laut (MTL) sejak 11 Nov lepas.

Bagaimanapun, keadaan cuaca itu dijangka beransur pulih menjelang pertengahan bulan depan susulan permulaan fasa peralihan monsun yang bermula hari ini dan berterusan hingga Mei.

Dalam tempoh ini, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir dan lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat yang berpotensi menyebabkan banjir kilat.

-- BERNAMA