Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memberi penjelasan mengenai pengumuman Kerajaan Arab Saudi melalui Putera Muhammad bin Naif, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi berkenaan semakan semula kadar caj visa seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar Arab Saudi pada 9 Ogos 2016.

Mengenai kadar caj visa haji dan umrah, dilaporkan bahawa mulai 1 Muharram 1438H bersamaan 2 Oktober 2016, kadar bayaran adalah seperti berikut:-

1) Bagi mereka yang mengerjakan haji dan umrah kali pertama, tiada caj visa akan dikenakan (percuma).

2) Bagi mereka yang mengerjakan haji dan umrah kali kedua dan seterusnya, akan dikenakan caj visa sebanyak SR2,000 setiap permohonan.

Sumber: Tabung Haji

Sepertimana sedia maklum, bagi Jemaah Malaysia yang mengerjakan haji kali kedua, TH mengenakan bayaran haji sebenar bagi tahun semasa, tanpa subsidi. Oleh yang demikian, apabila caj visa tersebut dikuatkuasakan, tambahan kos visa sebanyak SR2,000 ini juga akan ditanggung sepenuhnya oleh jemaah berkenaan.

Sebagai contoh, berdasarkan bayaran haji sebenar untuk tahun semasa 1437H, bayaran dengan tambahan caj visa SR2,000 (bersamaan dengan RM2,148) adalah seperti berikut:

RM18,890 + RM2,148 = RM21,038

Langkah tersebut diperkenalkan oleh Kerajaan Arab Saudi bagi memberi ruang kepada umat Islam yang masih belum menunaikan ibadah haji, selaras dengan tuntutan Syariat.

TH akan memaklumkan apabila pemberitahuan rasmi diterima daripada Kerajaan Arab Saudi mengenai kadar caj visa haji dan umrah di atas.