Sambutan luar biasa dari golongan belia pada malam konsert Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia Pandan, menunjukkan perpaduan serta semangat cintakan negara tidak pernah luntur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan ringkasnya menyifatkan program berkenaan wajar diadakan lebih kerap bagi menghargai sokongan belia terhadap negara.

Najib yang hadir bersantai bersama-sama pengunjung turut menyampaikan rasa terharu atas sokongan yang diberikan.

“Saya rasa amat terharu... saya lihat di kalangan anda betapa semangat setia tuan puan sekalian, perasaan cinta pada negara kita. Tahniah saya ucapkan, saya juga amat terharu kerana konsert ini mendapat sambutan luar biasa.

“Ya, kena buat banyak lagi boleh? Terima kasih kerana buat banner ‘I love PM’,” kata Najib dalam ucapannya.

Menutup tirai karnival yang berlangsung selama tiga hari itu, Perdana Menteri bersama-sama barisan artis tanah air mendendangkan lagu ‘Terima Kasih’, ‘Barisan Kita’ dan lagu tema ‘1M4U’.

Antara artis yang membuat persembahan termasuk lah, Awie, Datuk Hattan dan Black.

Kira-kita 30,000 pengunjung memenuhi persiaran Tesco Ampang bagi menyaksikan konsert tersebut.

Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia Pandan bermula pada 22 hingga 24 Mac disusun dengan pelbagai aktiviti sukan, kesihatan dan kebudayaan.

Ia turut diadakan di 100 lokasi terpilih seluruh Malaysia bermula Mac hingga April 2013.