DOKUMENTARI pendek bertajuk "Malaysia vs COVID-19" terbitan Astro itu menampilkan lima kisah yang benar-benar menimbulkan keterujaan kepada doktor gigi yang juga pembikin kandungan Dustin Pfundheller tentang bagaimana Malaysia mampu menyatukan semua rakyat dalam melawan pandemik.

Video berdurasi sekitar empat minit itu menampilkan Pfundheller yang menyenaraikan lima video pilihannya di samping kata-kata pujian yang tidak putus-putus ke atas sikap prihatin warga Malaysia di laman YouTube miliknya, Other Side of the Truth.

Dustin Pfundheller

"Banyak kisah yang menarik dipaparkan dalam usaha Malaysia melawan pandemik ini terutama berkaitan dengan menghulurkan bantuan bagi yang memerlukan.

"Antaranya kisah rakyat Malaysia yang menetap di New Zealand, Esther Wee bertindak menumpangkan rumahnya kepada warga tempatan yang terkandas di negara itu untuk mendapatkan perlindungan.

"Selain, itu saya turut teruja dengan kisah wanita yang mengedarkan gunting untuk digunakan menjahit pakaian peralatan perlindungan diri (PPE)," katanya.



Pilihan ketiga Pfundheller pula berkisahkan Youtuber masakan, S. Pavithra, yang dijadikan bahan rujukan memasak semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

"Tiada sebarang bunyi atau kesan khas yang digunakan dalam video masakan itu... mereka merekod video menggunakan telefon bimbit.

"Kisah ini benar-benar istimewa lebih-lebih lagi apabila mereka bukan orang yang berpengaruh," jelasnya.

Pfundheller yang merupakan warga Amerika Syarikat turut melahirkan rasa teruja apabila Malaysia sebenarnya telah mula melawan COVID-19 sebelum pandemik itu difahami secara teliti oleh rakyat.

Katanya, ia rentetan kisah seorang lelaki yang dikesan dijangkiti virus berkenaan pada Februari lalu sedangkan Malaysia mula menjalani ujian swab pada Mac.

Dalam pada itu, kisah pengarang buku, Hanna Alkaf berada di tangga teratas pilihan Pfundheller.

Menurut Hanna, dia berdepan kesukaran untuk membuat pilihan siapa yang layak untuk menerima bantuan.

"Saya membuat bebenang di Twitter menggunakan #KitaJagaKita. Ia memudahkan pengikut saya untuk membuat pilihan yang tepat siapa yang memerluan bantuan.

"Ramai rakyat Malaysia mahu menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan tidak mahu melihat golongan yang tidak bernasib baik melalui detik yang sukar," kata Hanna.

Secara keseluruhannya, Pfundheller mengakui gembira menonton dokumentari berkenaan yang memperlihatkan budaya sebenar Malaysia.

"Ramai rakyat Malaysia mahu membuat perubahan ke arah yang lebih baik, mereka mahu menghulurkan bantuan.

"Syabas kepada penghasilan dokumentari ini dan saya seronok menontonnya," tambahnya.