NATIONAL
Semangat kepusatan, persaudaraan bolehkan ASEAN bersama hadapi ketidaktentuan global - PM Anwar

Anwar berkata, penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 menjadi medan untuk Malaysia menyelaras agenda pembangunan Komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Perubahan geopolitik yang sedang berlaku, serta tekanan ke atas sistem perdagangan global, khususnya dengan pelaksanaan tarif unilateral Amerika Syarikat (AS), jelas menunjukkan kebangkitan ketara dasar perlindungan atau protectionism.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi ASEAN 2025 berkata, keadaan itu mengakibatkan multilateralisme atau hubungan pelbagai hala berada di ambang perpecahan.
Namun, tegas beliau, semangat kepusatan dan persaudaraan dalam kalangan negara anggota ASEAN membolehkan usaha untuk menghadapi cabaran yang timbul, secara bersama.
“Perlu dinyatakan, respons awal kita dalam menangani tarif AS, dengan penubuhan Pasukan Petugas Geo-ekonomi ASEAN, merupakan langkah yang perlu, bukan sahaja untuk koordinasi, tetapi untuk menunjukkan keyakinan dan resolusi,” kata Anwar.Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Menyentuh mengenai isu di Myanmar, Perdana Menteri berkata, Malaysia selaku Pengerusi telah mengambil langkah positif dengan penubuhan Kumpulan Penasihat Informal yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.
Beliau berkata kumpulan tersebut telah bersidang di Brunei, yang turut diserikan dengan kehadiran Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
“Ia merupakan satu pertemuan yang signifikan, kerana sejak peremuan ketiga di Bangkok, kita berjaya mencapai kemajuan dalam usaha mencari penyelesaian terhadap krisis Myanmar. Pertemuan seterusnya akan dihoskan oleh bekas Perdana Menteri Kemboja, Sam Dech Hun Sen.
“Saya ingin menegaskan melalui proses ini, perbincangan secara senyap ada kesannya. Langkah ini mungkin kecil, jambatan mungkin rapuh, tetapi seperti mana mereka tegaskan, dalam soal keamanan, jambatan yang rapuh itu lebih baik daripada jurang yang membesar,” tegasnya lagi.
Untuk ASEAN, Perdana Menteri berkata, keamanan, kestabilan, dan kemakmuran, kerap kali bergantung kepada orde antarabangsa berasaskan perundangan, berteraskan pergerakan bebas untuk perdagangan, kapita, dan rakyat.
Namun, tambahnya, asas ini kini sedang dirobek di bawah tindakan arbitrari.
“Tetapi sekali lagi, saya percaya bahawa daya ketahanan dan pengekalan kuasa ASEAN mampu merintangi segala ribut gelora yang timbul akibat cabaran dan ketidaktentuan yang mendatang.
"Hanya dengan kepusatan dan keyakinan kita untuk membentuk masa depan kita sendiri, yang akan membolehkan kita sentiasa berada di hadapan,” tegas Anwar.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami