MELAKA: Sembilan daripada 22 projek perumahan di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di seluruh negara dikategorikan sebagai projek sakit atau bermasalah telah berjaya diselesaikan setakat 31 Julai lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata sembilan daripada projek itu melibatkan 6,406 unit dan ia adalah hasil usaha KPT, pasukan Taskforce Projek Perumahan Sakit dan Terbengkalai (TFST) yang ditubuhkan awal tahun ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri.

"Kita sasarkan baki projek PR1MA berstatus TFST ini siap dalam tempoh dua tahun atau sebelum penghujung 2024 dengan jumlah unit yang terlibat adalah 9,528 unit kediaman.

"Kita percaya dengan kerjasama, projek ini akan siap manakala pembeli akan mendapat rumah mereka yang sudah lama terbengkalai," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Projek PR1MA Melaka Tengah 2 di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, kelancaran projek-projek itu bergantung kepada pelbagai faktor melibatkan gerak kerja, kontraktor dan pemaju kerana ia pernah tergendala dalam satu tempoh sebelum ini.

Mengulas mengenai tiga Projek PR1MA di Melaka, beliau menjelaskan dua daripadanya iaitu Projek Residensi Melaka Tengah 2 dan Projek Residensi Klebang 2 dijangka siap lebih awal memandangkan sudah mencapai status siap lebih 90 peratus.

"Kedua-duanya dijangka siap menjelang suku tahun pertama 2024 sementara Projek Residensi Bukit Katil dijangka siap pada penghujung 2024 memandangkan terdapat perubahan dari aspek kebenaran merancang," katanya.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah turut menjelaskan PR1MA akan membayar Gantirugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) yang dianggarkan RM6juta kepada 273 pembeli bagi Projek Residensi Klebang 2 secara berperingkat mengikut tarikh pembayaran,dengan pembayaran awal sebahagian LAD kepada dua pembeli telah dilakukan bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung pembeli akibat kelewatan projek siap.

"Manakala bagi projek Residensi Bukit Katil 10 pembeli akan menerima LAD dengan peruntukan kira-kira RM70,000, yang mana pemberian ini adalah inisiatif PR1MA sendiri dan perlu difahamkan bahawa LAD ini diberikan mengikut syarat perjanjian, tempoh pembelian dan kadar yang ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA