KEMAMAN: Sembilan nelayan Vietnam termasuk seorang tekong diberkas ketika leka menjalankan aktiviti perikanan mengaut hasil laut di perairan negara pada Sabtu.

Bot nelayan dengan nombor pendaftaran tempatan yang disyaki palsu itu dikesan sekitar 35 batu nautika timur laut Kuala Kemaman pada jam 4.10 pagi.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, semasa melakukan rondaan pihaknya mengesan bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Ia termasuk ciri dan struktur fizikal yang menyerupai bot nelayan Vietnam namun menggunakan nombor patil tempatan.

Katanya, pemeriksaan mendapati, bot dikendalikan sembilan warga Vietnam itu, berumur antara 28 dan 50 tahun, mengemukakan dokumen pengenalan diri, permit kerja serta lesen bot yang meragukan.

"Kesemua nelayan itu telah ditahan dan pihak kami turut merampas peralatan menangkap ikan, bekalan diesel beranggaran 1,000 liter dan hasil laut berupa sotong basah dengan anggaran berat 500 kilogram.

"Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.4 juta," katanya.

Rashidilhadi berkata, semua tahanan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk menjalani saringan COVID-19 dan menunggu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dan Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Menurutnya, pihaknya akan terus membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing, khususnya dari Vietnam.

Katanya, Maritim Malaysia juga akan menggunakan pelbagai kaedah pelaksanaan operasi bagi melindungi hasil laut negara dan khazanahnya daripada dicuri nelayan asing.