Rentetan konflik yang semakin meruncing di Syria terutamanya di Aleppo, gabungan badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan Syria bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini bersidang dan hadir dengan sembilan resolusi.

Ia sebagai desakan kepada kerajaan Malaysia untuk memainkan peranan lebih besar dalam usaha menamatkan kekejaman rejim tentera Basyar Al-Assad yang telah mengorbankan lebih 400,000 ribu nyawa sejak konfik tercetus pada Mei 2011.

Persidangan yang berlangsung di Menara Kementerian Belia dan Sukan di sini sebulat suara membentuk Komiti Bertindak #SolidaritiAleppo, sebagai simbolik kesatuan hati dan jiwa kemanusiaan dalam menyantuni rakyat Syria yang dizalimi.


Menurut pengerusi gabungan NGO kemanusiaan Syria, Dr. Hafidzi Mohd Noor yang juga Pengerusi MyCARE iaitu antara NGO terlibat dalam solidariti ini, apa yang ditekankan adalah soal kezaliman dan pelanggaran hak asasi manusia oleh rejim Al-Assad.

Tuntutan itu juga diharap dapat memastikan keselamatan gerakan kemanusiaan agar membolehkan bantuan dapat terus disalurkan kepada warga Syria di sana.

“Kita menggesa kalau boleh saluran-saluran diplomatik yang wujud ini dimanfaatkan sebaiknya.

“Kita faham ada kekangan dan kepentingan, tetapi rasanya ia perlu dilihat dalam perspektif masa depan dan juga hak rakyat Syria sendiri yang sekarang ini sedang berdepan bukan sahaja dengan isu-isu melibatkan ekonomi tetapi melibatkan nyawa,” katanya selesai persidangan.

Resolusi yang digariskan itu seterusnya akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu pertemuan yang diatur dijangka pada Januari tahun depan untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya oleh kerajaan Malaysia.

“Kita juga mengharapkan ada perbincangan dengan Yang Berhormat TPM, sebab kita sedia maklum beliau dan juga Perdana Menteri telah menyuarakan apa yang sedang berlaku di Aleppo ketika ini.

“Jadi saya kira ini satu gerakan yang wajar dan tepat pada masanya untuk kita buat supaya kerajaan pun nampak bersama dengan NGO untuk kita gerakkan isu kemanusiaan ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line for Syria, Syahrir Azfar Saleh.

Persidangan yang dikendali Naib Presiden MBM, Jufitri Johar itu disertai sembilan NGO gabungan, antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Syria Care, Yayasan Kubro, Yayasan Sannabil Alkhair, Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), dan Syria di Hatiku.

Sembilan resolusi yang dicapai hari ini adalah:

  1. Mendesak kepimpinan dunia Islam khususnya kerajaan Malaysia untuk memutuskan terus apa jua hubungan diplomatik dengan Rejim Bashar Al-Assad yang memerintah Syria secara kejam.
  2. Saranan ini adalah sebagai menyahut resolusi yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Sedunia yang dipimpin oleh Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di Konya, Turki pada 5 Ogos 2016 untuk memulau kerajaan Syria dan berdiri menyokong rakyat Syria yang mahukan kebebasan, pembebasan dan keamanan.
  3. Menggesa agar hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Rusia dan Iran dikaji semula, memandangkan kedua-dua negara ini merupakan sekutu kuat yang menyokong serta membantu Rejim Assad dalam kempen pembunuhan rakyat Syria sejak bermulanya konflik.
  4. Menyeru agar duta Rusia serta Iran dipanggil untuk menghadap YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia bagi menerangkan pendirian mereka serta isu yang berlaku.
  5. Menyeru agar kepimpinan Malaysia khususnya mengecam secara terbuka kezaliman Rejim Assad dan sekutunya sebagai tanda bantahan terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berlaku ke atas penduduk Aleppo khusunya dan rakyat Syria secara umumnya.
  6. Meminta agar Malaysia membawa bukti-bukti kezaliman Rejim Bashar Assad terhadap rakyatnya termasuk jenayah perang yang telah dilakukan oleh mereka ke muka pengadilan. Sepanjang konflik berlaku terlalu banyak pelanggaran Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa dan juga Hak Asasi Manusia yang telah dilanggar oleh Syria dan sekutu-sekutunya. Penggunaan senjata kimia, keganasan seksual seperti rogol, penahanan penjara tanpa bicara termasuk penyeksaan di dalam penjara yang tidak mampu untuk digambarkan, kepungan sehingga mengakibatkan kebuluran termasuk penggunaan periuk api dan juga sekatan akses kepada sukarelawan bantuan kemanusiaan.
  7. Meminta Malaysia menggunakan pengaruhnya sebagai ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang berkuat kuasa 1 Ogos 2016 untuk mendesak pertubuhan itu dan ASEAN supaya mengambil langkah sewajarnya, sejajar dengan peruntukan termaktub dalam Piagam PBB bagi melindungi dan menghormati hak semua manusia dalam menikmati keamanan dan keselamatan. Hal ini penting, bagi menghentikan pencabulan hak asasi manusia dengan sewenang-wenangnya dan penghinaan yang tidak boleh diterima terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa oleh Rejim Bashar Assad.
  8. Menyeru agar kerajaan Malaysia dapat menyokong inisiatif-inisiatif yang dibuat oleh Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO-NGO) Malaysia, dalam membina jaringan kerjasama strategik dengan NGO Antarabangsa khususnya bantuan kemanusiaan yang telah dan akan diusahakan bersama dengan NGO-NGO di Turki, Jordan dan Lubnan untuk membantu rakyat serta pelarian Syria yang terkesan.
  9. Menyeru agar kerajaan Malaysia memainkan peranan yang lebih besar untuk menyelesaikan konflik kemanusiaan terburuk pada abad ini. Sesungguhnya, kekejaman dan konflik di Syria yang memasuki tahun keenam ini, harus dihentikan bagi mengelak lebih ramai mereka yang tidak berdosa terkorban dan merana, dengan krisis kemanusiaan yang amat dahsyat.