Seorang pesawah didakwa di Mahkamah Sesyen, Kangar, hari ini, atas pertuduhan mengabaikan bayi lelakinya yang berusia dua bulan 20 hari di rumahnya.

Tertuduh yang berusia 39 tahun didakwa sebagai seorang yang mempunyai hak pemeliharaan seorang kanak-kanak atau bayi lelaki berusia dua bulan telah mengabaikannya di sebuah rumah di Taman Pauh Indah, Arau pada Khamis.

Tertuduh yang juga bapa kepada lima anak itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun bersama denda maksimum RM50,000.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nurdiyana Ab Shukor.

Mohd Izham dalam pendakwaannya tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan jarak masa antara kejadian dan pertuduhan yang begitu dekat dan tertuduh berpotensi untuk mengganggu mangsa.

Selain itu, tertuduh tinggal serumah dengan isterinya bersama mangsa dan dibimbangi mempunyai kecenderungan untuk mengulangi perbuatannya.

Bagaimanapun Nurdiyana di dalam pembelaannya memohon agar tertuduh ditawarkan jaminan berikutan dia masih mempunyai empat lagi anak bersama isterinya yang terdahulu yang perlu ditanggung selain tertuduh mengaku tidak sengaja melakukan perbuatan berkenaan.

Ainul Shahrin kemudian memutuskan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 23 Julai.

Semalam Astro AWANI melaporkan seorang pesawah ditahan polis selepas didakwa menyembur racun serangga dan menampar muka serta melambung bayi lelakinya dalam satu kejadian di Arau minggu lalu.