MARANG: Hasil ujian saringan COVID-19 terhadap 24 pemancing termasuk seorang kontak rapat pesakit, yang sebelum ini menggunakan perkhidmatan rumah bot di Tasik Kenyir disahkan negatif.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, berkata keputusan ujian pertama itu diterima pada Ahad dan semua mereka dikehendaki melakukan ujian saringan kedua selepas ini.

Katanya, semua pemancing berkenaan dikehendaki menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari.

"Hasil ujian calitan semuanya negatif, namun mereka perlu mematuhi prosedur disebabkan salah seorang dikatakan mempunyai kontak rapat... namun hasil ujian calitan dia juga didapati negatif COVID-19.

"Kesemua mereka dibenarkan pulang tetapi perlu menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari dan pada hari kelapan kesemua mereka akan menjalani ujian saringan kali kedua," katanya di sini, hari ini.

BACA: Tular individu positif COVID-19 di Tasik Kenyir, pengunjung dinasihat tidak panik

Beliau berkata, walaupun keputusan ujian semua mereka negatif, namun proses sanitasi di rumah bot berkenaan tetap dilaksanakan.

Terdahulu tular di media sosial mengenai sekumpulan 24 pemancing yang bercuti di Tasik Kenyir pada Khamis, terpaksa menjalani kuarantin sementara di sebuah rumah bot berikutan seorang daripada mereka disyaki positif COVID-19.

Kesemua pemancing itu yang tinggal di Manir telah dibenar pulang ke rumah masing-masing dan dipakaikan gelang kuarantin berwarna putih.