KEPALA BATAS:Ujian saringan kedua COVID-19 ke atas kesemua 112 penghuni dan kakitangan Pusat Jagaan Darul Hanan di Kepala Batas negatif.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata bagaimanapun mereka masih dikuarantin selama dua minggu, bermula Sabtu lalu.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, seramai 79 penghuni dan 33 kakitangan pusat itu menjalani ujian saringan COVID-19 kali kedua pada 20 Oktober selepas ujian saringan pertama yang dilaksanakan mendapati lapan penghuninya positif.

“Semua penghuni dan kakitangan disahkan negatif dalam ujian saringan kedua.

“Namun mereka masih belum dibenarkan keluar kerana perlu menjalani kuarantin selama dua minggu seperti yang diarahkan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Selasa lepas, media melaporkan seramai lapan warga emas di pusat jagaan berkenaan disahkan positif COVID-19, susulan daripada Kluster Alma.

Tujuh daripada warga emas terbabit adalah kontak rapat kepada seorang penghuni berumur 69 tahun yang baru mendaftar masuk pada 12 Oktober dan didapati positif COVID-19 pada minggu lalu.

Kes positif COVID-19 pertama di pusat jagaan warga emas itu dikaitkan dengan Kluster Alma dan sehingga hari ini, Kluster Alma merekodkan 17 kes positif COVID-19.