PUTRAJAYA: Semua kes gigitan anjing di Sarawak dilaporkan stabil dan telah diberikan suntikan vaksin rabies serta rawatan Immunoglobulin Rabies (RIG), demikian menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam satu kenyataan hari ini bagi memaklumkan situasi jangkitan anjing yang disahkan positif rabies di Kuching, Sarawak, KKM berkata kes tersebut terdiri daripada 11 kes yang dirawat sebagai pesakit luar dan satu kes yang dimasukkan ke hospital bagi perawatan luka, yang telah discaj pada Khamis lepas.

"Kesemua 11 kes telah digigit oleh anjing liar yang sama. Anjing tersebut telah ditangkap oleh PBT (pihak berkuasa tempatan) pada 8 Jan lepas. Keputusan ujian makmal yang dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) pada 11 Jan lepas, menunjukkan positif rabies.

"Bagi kes ke-12 yang dilaporkan digigit anjing peliharaan di Lorong Tabuan Timur, Kuching, mangsa telah mendapat rawatan di Hospital Umum Sawarak pada 7 Jan. Anjing telah diserahkan secara sukarela kepada PBT dan ujian makmal DVS menunjukkan ia positif rabies," menurut kenyataan itu.

Pada 11 Jan lepas, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk Wee Hong Seng dilaporkan berkata terdapat 12 kes gigitan anjing yang positif rabies di kawasan Tabuan Desa Indah dan Lorong Tabuan Timur, Sarawak.

KKM berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak bersama DVS, PBT dan agensi tempatan yang berkaitan akan mempergiatkan aktiviti kawalan di kawasan terbabit bersama masyarakat setempat termasuk menjalankan kempen vaksinasi anjing bagi mengawal penularan jangkitan rabies.

Menurut KKM, jangkitan rabies boleh dicegah sekiranya rawatan awal diberikan dengan segera sebelum dirujuk ke fasiliti kesihatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

KKM turut menggariskan beberapa langkah pencegahan rabies antaranya segera mencuci luka pada kulit atau bahagian anggota badan yang dijilat, digigit atau dicakar haiwan dengan menggunakan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya selama 15 minit serta memastikan vaksin antirabies lengkap diterima mengikut janji temu yang diberikan oleh pengamal perubatan.

KKM menasihatkan masyarakat agar tidak mengendalikan haiwan liar termasuk anjing dan kucing sama ada yang hidup atau mati, sebaliknya melaporkan kepada DVS atau PBT untuk tindakan lanjut terhadap haiwan berkenaan.

-- BERNAMA