MALAYSIA
Semua negeri perlu sepakat minimumkan kebergantungan sumber makanan import

Izham (atas lima, kanan) bergambar bersama penerima Anugerah Ikon Agro Selangor 2024/2025 ketika hadir ke Majlis Perasmian Selangor Agrofest 2025 di Tapak Karnival Seksyen 13 Shah Alam. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Semua negeri perlu berganding bahu di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam merangka mekanisme baharu yang mampu mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan makanan import, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Izham Hashim.
Beliau berkata Selangor yang sebelum ini dilihat sebagai antara negeri yang mendominasi sektor asas tani negara tidak mampu untuk menyediakan bekalan yang mencukupi tanpa kerjasama daripada negeri-negeri lain yang mempunyai sumber pelbagai.
"Amat sukar untuk kami penuhi keperluan sembilan juta rakyat di Selangor dan Kuala Lumpur secara bersendirian, tetapi kita boleh bantu melengkapkan rantaian makanan di peringkat nasional menerusi aspek pemodenan dan pertanian bernilai tinggi.
"Sekiranya setiap negeri memainkan peranan termasuk mempunyai kerangka kerja yang mampan, bekalan makanan di seluruh negara akan lebih terjamin dan kadar import boleh dikurangkan," katanya pada sidang media di Dataran Karnival Perkarangan Stadium Seksyen 13 di sini pada Sabtu.Beliau turut mengakui setiap negeri mempunyai cabaran tersendiri terutamanya membabitkan kawasan bandar yang memerlukan kos tinggi serta isu berkaitan tanah bagi menghasilkan bekalan makanan dalam negeri atau tahap sara diri (SSL).
Izham turut mencadangkan supaya negeri-negeri lain memberikan fokus kepada aspek pemodenan yang bernilai tinggi dan berkemampuan untuk menggandakan jumlah bekalan makanan menggunakan kaedah konvensional.
"Kalau kita fokus kepada pertanian bernilai tinggi, kawasan yang kecil juga dapat mengeluarkan hasil yang tinggi seperti pertanian moden (hidroponik) yang mampu mengeluarkan hasil tiga kali ganda berbanding di tanah. Perkara ini perlu dijadikan disiplin membabitkan teknologi yang ada.
"Teknologi pengeluaran, pembenihan, pembakaan, pemasaran dan penyimpanan perlu diberikan perhatian dan diperkemaskan lagi. Banyak kos dapat dikurangkan contohnya kos mengimport sayur-sayuran dan buah-buahan yang mencecah RM7.5 bilion sedangkan kita sendiri mampu menghasilkannya," katanya.
Terdahulu, Izham melancarkan Selangor Agrofest (SAF) 2025 yang menghimpunkan 160 reruai pertanian dan agromakanan dengan menyasarkan potensi transaksi jualan berjumlah RM500,000 sepanjang empat hari penganjuran.
Acara yang dijadualkan sehingga esok itu juga bakal menyaksikan 10 orang usahawan tani dinobatkan sebagai Ikon Agro Selangor 2024/2025, sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM10,000.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami