SELANGOR: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)  menyeru semua pihak tanpa mengira agama agar sentiasa menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan termasuk bacaan surah al-Fatihah dan ayat-ayat suci al-Quran sama ada dalam majlis rasmi atau tidak rasmi.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berpandangan hal ini penting untuk diberi penekanan apabila bacaan surah al-Fatihah dan ayat-ayat suci al-Quran dilaksanakan khusus kepada umat Islam yang meninggal dunia seperti akibat pandemik COVID-19, kemalangan dan sebagainya.

"Dalam Islam turut mengajarkan hormat menghormati di antara satu sama lain adalah sangat penting dalam tuntutan memuliakan, menghormati dan berkasih sayang sesama manusia.

"Di Malaysia, amalan dan budaya masyarakat yang saling hormat menghormati dan hak kebebasan untuk beragama serta mengiktiraf Islam sebagai agama negara perlu dijadikan sebagai agenda utama dalam memastikan talian persaudaraan terus utuh dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan bangsa.

"Situasi hormat menghormati ini seiring dengan Rukun Negara yang kelima iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Aziz menyeru kepada semua masyarakat seluruh negara khususnya Selangor agar sentiasa menghormati agama Islam serta mengurangkan perkara yang melibatkan sensitiviti dan perpecahan rakyat berbilang kaum dan agama.