Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) menggesa semua pihak berkaitan menimbang semula cadangan pembangunan yang melibatkan kawasan Hutan Simpan Kekal HSK.

Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata adalah wajar aktiviti pembangunan tanah yang melibatkan HSK patut diberhentikan serta-merta bagi mengekalkan peranan serta sumbangan HSK kepada pembangunan negara serta konservasi kepelbagaian hayat.

Wan Junaidi berkata keluasan kawasan HSK di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah berkurangan 37.83 ha dari 106.10 ha sejak mula diwartakan ke keluasan 68.27 ha pada masa ini.

Jelasnya, Ia berikutan keperluan mendesak untuk pembangunan tanah, terutama sekali untuk tujuan pembangunan jalan dan pelbagai infrastruktur yang amat pesat bagi memenuhi keperluan
dan permintaan awam yang kian meningkat.

Selain itu, katanya, kawasan HSK tidak digalakkan untuk diwarta keluar atau dibuka untuk projek pembangunan tanah walaupun Pihak Berkuasa Negeri boleh berbuat sebaliknya sejajar dengan Seksyen 11, Akta Perhutanan Negara 1984.

Tambahnya, Pihak Berkuasa Negeri perlu komited untuk menggantikannya serta-merta selaras Seksyen 12, Akta yang sama di Kuala Lumpur atau di mana-mana sahaja di Semenanjung Malaysia.

Menurut Wan Junaidi, NRE akan memohon Pihak Berkuasa Negeri untuk menyemak projek-projek pembangunan tanah yang melibatkan HSK melalui Majlis Tanah Negar (MTN) samada untuk menimbang semula atau mengambil langkah-langkah bagi kepentingan dan komitmen negara.

Katanya, ini membolehkan NRE menguatkuasakan peraturan dan kawasan gantian boleh diwartakan terlebih dahulu sebelum mana-mana hutan simpan kekal dibangunkan.

Pada masa sama, katanya Pihak Berkuasa Negeri perlulah komited sepenuhnya kepada komiten-komitmen negara kepada apa jua keputusan dari forum-forum seperti UNFF, UNFCC Paris Treaty dan TPPA.

Dengan itu, Wan Junaidi berkata adalah wajar Pihak Berkuasa Negeri komited kepada pengekalan kawasan berhutan tidak kurang 50% dpd keluasan Negara.

Wan Junaidi berkata NRE tidak menggalakan pembukaan kawasan hutan secara berleluasa bagi mengelak kebakaran hutan dan NRE prihatin terhadap risiko kitaran Fenomena El-Nino dari perspektif kawasan hutan sebagai kawasan tadahan hujan

Tegasnya lagi, NRE menerusi JPSM bersama-sama JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan terus memastikan HSK tersebut terpelihara.