KUALA LUMPUR: Isu penderaan fizikal, mental dan impak penagihan tidak boleh diletakkan dan diserahkan semuanya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pendidikan serta Jabatan Kesihatan.

Sebaliknya, menurut Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan Penawar Persatuan Mencegah Dadah Malayhsia (Pemadam) Kebangsaan, Datuk Jamelah Abu Bakar, rakyat boleh memainkan peranan dengan mengegarkan kesedaran komuniti mengenai perkara ini.

"Sama-sama bangkit membantu negara kita. Sama-sama membantu jentera pentadbiran negara. Semoga dengan keprihatinan semua pihak penularan penderaan kepada kanak-kanak dapat dibendung.

"Marilah kita bersama-sama mempromosi kehidupan yang sihat demi pembangunan kesihatan fizikal dan minda kanak-kanak demi Malaysia yang harmoni," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jamelah berkata demikian sebagai mengulas beberapa insiden penderaan melibatkan kanak-kanak yang berlaku mutakhir ini.

Dalam masa sama, beliau menggesa pemimpin negara dan negeri bertanggungjawab mengerakkan agensi yang berkaitan untuk memberi sokongan ekonomi dalam komuniti supaya setiap keluarga mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi untuk membiayai seluruh kehidupan berkeluarga.

Katanya, tekanan kehidupan akibat kurangnya sumber kewangan menjadi satu faktor melepaskan geram dan amarah kepada anak-anak.

"Semua pemimpin sama ada pemimpin politik, pemimpin komuniti, pemimpin insitusi agama turun ke lapangan ambil peduli tekanan yang dihadapi oleh rakyat.

"Sikap cakna dan ambil peduli keperluan komuniti setempat amat penting. Masalah ini boleh dikurangkan apabila ada pihak yang sentiasa menghadirkan diri atau omnipresent atau sentiasa ada mata-mata yang memandang dan prihatin," katanya lagi.

Jamelah berkata, pemerkasaan penguatkuasan undang-undang yang sewajar kepada individu yang melakukan penderaan kepada kanak-kanak mesti dilaksanakan dengan sewajarnya.

Beliau berkata, mereka yang bersalah seharusnya dijatuhkan hukuman yang berat untuk mengingatkan masyarakat tentang akibat seseorang melakukan jenayah penderaan.

"Pengemblengan kepakaran, sumber daripada semua sektor baik kerajaan mahu pun swasta pasti akan mendatangkan impak yang besar kepada masalah penderaan kanak-kanak yang menjadikan ancaman nyawa kepada generasi muda negara.

"Mereka berhak mendapat pelindungan dan penghormatan sebagai kanak-kanak. Perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam isu kanakkanak adalah kesejahteraan dan kebajikan mereka.

"Kita sebagai anggota masyarakat yang celik undang-undang mesti melaksanakan tanggungjawab sosial apabila melihat dan mengetahui berlaku pelanggaran hak anak-anak ini," kata beliau lagi.