KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi mendapatkan perintah penggantungan sementara prosiding, bagi tiga lagi kes pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM200 juta, dihadapi Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia sementara menunggu rayuan pihak pendakwaan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya atas pembebasan bekas Perdana Menteri ini, atas empat kes menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa.

Ketika membaca keputusan itu, Hakim, Azura Alwi berkata, mahkamah memutuskan bahawa pemohonan pendakwaan untuk menggantung dan menangguhkan sepenuhnya prosiding di mahkamah ini, telah dibenarkan.

“Ia sehingga pelupusan kes rayuan pendakwaan selaku pemohon, bagi rayuan melalui notis pada 15 Ogos 2023 diketahui.

“Jika terdapat situasi yang memerlukan keputusan kehakiman (di Mahkamah Rayuan), kes di Mahkamah Sesyen ini wajar digantung demi keadilan kesemua pihak.

Hakim ini berkata, ia juga bagi mengelak sebarang gangguan terhadap prosiding di mahkamah ini.

Selain itu beliau berkata, ini juga disebabkan terdapat permohonan-permohonan lain yang difailkan dan pendengaran di Mahkamah Rayuan, telah ditetapkan dalam masa terdekat.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan mahkamah menetapkan tarikh lain untuk pengurusan kes bagi perkembangan kes rayuan tersebut.

Mendengar perkara itu, peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili pemimpin PN ini berkata, pihak pembelaan tidak membantah perkara tersebut.

Bagaimanapun, beliau memohon kehadiran Muhyiddin dikecualikan, yang mana ia kemudiannya tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Mac depan untuk perkembangan kes di Mahkamah Rayuan serta membenarkan pengecualian kehadiran teruduh pada tarikh itu.

Pada 10 Mac tahun lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa dan dua pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022.

Ekoran kes ini, Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah itu.

Pada 13 Mac 2023 pula, Muhyiddin didakwa atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, selaku Presiden Bersatu menerima hasil AMLA iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank, milik parti itu.

Pada 15 Ogos tahun sama, Mahkamah Tinggi di sini melepaskan dan membebaskan (DNA) Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan itu selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan kesemua pertuduhan itu.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada hari sama keputusan itu dibuat dan pendengaran rayuan tersebut ditetapkan pada 28 dan 29 Februari ini.

Muhyiddin selaku responden kemudiannya memohon kepada Mahkamah Sesyen supaya perintah DNAA atas tiga kes AMLA, dikeluarkan kepadanya.

Susulan itu, pendakwaan memohon untuk menangguhkan perbicaraan bersama, sementara menunggu keputusan rayuan pembebasan responden atas tiga tuduhan tersebut. - Sinar Harian