Semua pihak yang terlibat dalam pemberhentian dan pengurangan gaji pekerja akibat penularan COVID-19 di Malaysia digesa untuk hadir atau menghubungi Pejabat Tenaga Kerja berhampiran dan melaporkan perkara itu.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan pada Jumaat berkata dalam usaha memantau situasi itu, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah melaksanakan inisiatif menyalurkan maklumat secara telus berhubung perkara itu.

"Maklumat ini disediakan dalam bentuk dashboard (papan pemuka) dan boleh diakses dalam laman sesawang rasmi jabatan iaitu jtksm.mohr.gov.my," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, KSM turut menggesa majikan untuk sentiasa merujuk Garis Panduan Mengendalikan Isu-isu Berhubung Wabak Penyakit Termasuk COVID-19 Di Tempat Kerja yang telah dikeluarkan JTKSM pada 7 Feb 2020.

Menurut kenyataan itu lagi, sehingga hari ini, pekerja yang terlibat dalam proses pemberhentian dan pengurangan gaji telah mencecah 634 orang membabitkan 10 majikan di tiga negeri dalam tiga sektor industri termasuk pelancongan.

Daripada angka pemberhentian yang dikenal pasti, 64 pekerja telah diberhentikan secara kekal dan 111 orang pekerja diberhentikan secara sementara, manakala 459 orang pekerja pula terlibat dengan pengurangan gaji oleh majikan.

"Negeri-negeri terlibat adalah Melaka dengan 369 orang pekerja diikuti Selangor (223 orang) dan Kuala Lumpur (42). Sektor-sektor terlibat adalah pembuatan (369 orang pekerja), sektor pentadbiran dan khidmat sokongan (263 orang) yang mana melibatkan aktiviti perkhidmatan pelancongan, serta sektor perdagangan borong runcit (dua)," katanya.

-- BERNAMA