ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor bersetuju memberi peruntukan tambahan sebanyak RM150,000 kepada semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri tersebut.

Selain itu, sebanyak RM100,000 pula disalurkan kepada 27 Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas (JPKD) Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini.

Peruntukan keseluruhan berjumlah RM11.1 juta itu, kata Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, bagi membolehkan bantuan disalurkan segera kepada rakyat yang terjejas akibat COVID-19 melalui wakil rakyat.

"Saya berharap peruntukan tambahan ini boleh digunakan bagi tujuan kebajikan dan kemaslahatan masyarakat di kawasan DUN Yang Berhormat sekalian," kata Hasni pada penggal persidangan keempat Dewan Undangan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, hari ini.

ADUN Benut itu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Parit Yaani) yang juga Ketua Pembangkang mengenai apakah jenis bantuan yang disampaikan oleh agensi selain kerajaan negeri.

Beliau berkata selain kerajaan negeri, pelbagai agensi kerajaan termasuk Majlis Agama Islam Negeri Johor, turut aktif dalam menyalurkan bantuan kepada masyarakat yang terjejas akibat pandemik.

Selain itu, Hasni berkata, bagi membantu golongan sasar khususnya terjejas COVID-19, tiga siri bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor iaitu PRE Ihsan Johor 1, PRE Ihsan Johor 2 dan PRE Ihsan Johor 3 dilancarkan dengan peruntukan sebanyak RM491.25 juta bagi membiayai kesemua 103 inisiatif.

Kesemua ini memberikan manfaat kepada hampir satu juta penerima melibatkan pelbagai golongan rakyat di negeri Johor.