MALAYSIA
Sengatan ubur-ubur tidak jejas kesihatan Raja Azlan - Penganjur

Kebanyakan peserta yang terkena ubur-ubur hanya mengalami reaksi alahan ringan seperti kegatalan, kemerahan dan rasa pedih pada kulit yang terdedah.
LUMUT: Penganjur Teluk Senangin Open Water Swim 2025 menafikan dakwaan bahawa anakanda Sultan Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah mengalami kecederaan serius akibat sengatan ubur-ubur semasa menyertai acara tersebut pada Sabtu.
Ringkasan AI
- Penganjur menafikan dakwaan kecederaan serius terhadap Raja Azlan Muzaffar Shah, menjelaskan baginda hanya mengalami kecederaan ringan akibat sentuhan ubur-ubur dan berada dalam keadaan sihat.
- Hanya lima peserta dirujuk ke hospital untuk pemerhatian lanjut, manakala kes sengatan ubur-ubur lain adalah ringan dan terkawal dengan rawatan segera di lokasi.
- Penganjur menegaskan acara berjalan lancar dengan sokongan diraja, dan maklum balas peserta serta ibu bapa sangat positif terhadap pengurusan risiko dan respons perubatan.
Penafian tersebut dibuat susulan beberapa hantaran tular di media sosial yang mendakwa baginda mengalami kecederaan serius akibat insiden sengatan ubur-ubur di perairan Teluk Senangin.
Menurut pihak penganjur, acara berprestij yang disertai lebih 200 peserta itu turut dihadiri oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang berkenan mencemar duli memberikan sokongan kepada Raja Azlan dan semua peserta.
Katanya, keberangkatan baginda berdua telah menyemarakkan suasana pertandingan, mempamerkan keprihatinan dan kemesraan serta memberikan suntikan semangat kepada semua pihak yang terlibat.
"Sebarang dakwaan yang menyatakan berlaku kecederaan berat atau perkara yang mencemarkan nama baik institusi diraja adalah tidak berasas dan dianggap sebagai cubaan mencemarkan keharmonian acara," katanya.
Kenyataan yang sama turut memaklumkan bahawa jumlah peserta yang terlibat dengan sengatan ubur-ubur adalah sangat kecil dan terkawal, dengan kebanyakan mereka hanya mengalami reaksi alahan ringan seperti kegatalan, kemerahan dan rasa pedih pada kulit yang terdedah.
“Kesemua peserta menerima rawatan serta-merta di khemah perubatan yang disediakan. Hanya lima peserta dirujuk ke Hospital Seri Manjung untuk pemerhatian lanjut," jelas kenyataan itu.
Pihak penganjur menegaskan bahawa ibu bapa telah dimaklumkan lebih awal mengenai risiko di laut terbuka dan telah mengambil pendekatan bersedia secara fizikal dan mental, termasuk menyediakan krim rawatan, cuka serta langkah berjaga-jaga lain.
"Maklum balas yang diterima selepas acara juga sangat positif. Sebahagian besar peserta dan ibu bapa memuji sistem respons pantas dan tindakan profesional petugas perubatan di lokasi acara.
"Malah, ramai peserta muda menyifatkan pengalaman ini sebagai sebahagian daripada cabaran sebenar dalam dunia sukan air terbuka yang membina keyakinan diri dan ketahanan fizikal mereka," menurut kenyataan tersebut.
Media pada Sabtu melaporkan sekurang-kurangnya 40 peserta program Teluk Senangin Open Water Swim 2025 cedera akibat disengat ubur-ubur dalam kejadian di Pantai Teluk Senangin, Segari.
Program berkenaan turut disertai anakanda Sultan Perak, Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah dalam kategori remaja lelaki (12–19 tahun) sejauh tiga kilometer. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami