Kaedah mendapatkan sokongan dengan mensensasikan isu-isu agama dan kaum semakin kurang berkesan sebagai faktor daya penarik di dalam sesebuah kerajaan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pengundi terutama di kalangan generasi remaja kini lebih mengutamakan aspek tadbir urus yang baik selain defisit keyakinan berlaku kerana faktor-faktor rasuah dan salah guna kuasa.

Titah baginda, pengundi mahukan tadbir urus yang berpaksikan undang-undang dan tidak kepada karisma seseorang individu.

"Sentimen pengundi wajib dibaca secara tepat oleh kerajaan yang telah diberikan mandat memerintah.

"Sentimen pengundi juga wajib dijadikan panduan kepada parti-parti politik yang berusaha untuk meneruskan jangka hayatnya.

"Sentimen pengundi yang lebih menumpukan kepada tadbir urus yang baik lagi telus, dan semakin kurangnya daya pengaruh isu-isu sensasi berteraskan agama dan kaum, membuka ruang luas untuk budaya politik di negara ini dapat dibangunkan atas penyebut atau denominator yang sama," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis pelancaran buku 'Reflections on Malaysian Unity and Other Challenges' yang merupakan kompilasi tulisan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Dr. Chandra Muzaffar dan diterbitkan Zubedy (M) Sdn Bhd.

Dalam pada itu titah baginda, setiap negara menghadapi isu perpaduan, dan setiap negara menghadapi pelbagai cabaran yang tidak ada kesudahannya.

Malah titah baginda, negara yang komposisi warganya terdiri daripada rakyat yang seragam atau homogenous tidak sunyi daripada perselisihan dan tidak bebas daripada menghadapi cabaran.

"Apatah lagi bagi Malaysia, sebuah negara yang memiliki segala elemen mencabar untuk mewujudkan perpaduan.

"Warga Malaysia berlatar belakangkan pelbagai budaya, bertutur di dalam pelbagai bahasa, terdiri daripada pelbagai kaum dan menganut pelbagai agama; di samping memiliki tahap pencapaian ekonomi dan intelek yang berbeza, melalui sistem pendidikan yang begitu pelbagai lagi berbeza, dipengaruhi pula oleh pelbagai idealisme politik yang dijuarai oleh parti-parti politik yang begitu banyak bilangannya, bagi sebuah negara kecil daripada segi keluasan geografi dan bilangan penduduk," titah baginda.

Titah Sultan Nazrin lagi, penggunaan bahasa Malaysia juga wajar dijadikan ramuan kejayaan yang berupaya dijadikan pemangkin untuk mengurangkan jurang perbezaan persefahaman antara kaum.